Kontroversi KP AKPS: Kecaman tidak alih fokus Kamal Hisham bela dua anggota polis

Iklan
Kamal Hisham

KUALA LUMPUR – Kecaman di media sosial tidak akan mematahkan semangat peguam, Kamal Hisham Jaafar, untuk terus membela dua anggota polis yang didakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Kamal Hisham berkata, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab itu secara profesional bagi memastikan proses siasatan dan perbicaraan kes berkenaan berlangsung secara telus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau hadir sebagai peguam pemerhati dalam kes tersebut, selain bertindak sebagai peguam cara bagi tuntutan sivil yang berkaitan.

“Serangan di media sosial tidak akan mengalih perhatian saya daripada tanggungjawab ini atau melemahkan semangat saya untuk membela golongan berpangkat rendah yang menjadi mangsa buli individu berjawatan tinggi.

Iklan

“Lebih-lebih lagi apabila perbuatan pelaku didakwa berulang kali berlaku, namun sebelum ini dikaburkan dan terlepas begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan mengaitkan Kamal Hisham dengan beberapa kes mahkamah ketika beliau berkhidmat sebagai penasihat undang-undang.

Iklan

Media pada 21 Oktober lalu melaporkan Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Kamal Hisham berkata, beliau mengendalikan kes berkenaan secara pro bono atau percuma, selain beberapa kes lain yang turut diuruskannya tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Menurutnya, kecaman yang diterima ketika menjalankan tugas sebagai peguam merupakan lumrah bagi individu yang berpegang kepada prinsip bahawa keadilan perlu ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Saya percaya keadilan hanya boleh ditentukan melalui mahkamah, bukan melalui kecaman awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan warganet supaya berfikiran terbuka dan tidak terlalu taksub mempercayai kempen di media sosial yang didakwanya tidak menggambarkan keadaan sebenar, selain bertujuan mengalihkan perhatian daripada isu utama kes.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya meneliti fakta, bukti serta latar belakang individu yang terlibat sebelum memberikan sebarang pandangan.

Katanya, bagi memastikan pentadbiran keadilan dilaksanakan secara adil dan saksama di negara ini, beliau menganggap segala kecaman dan kritikan yang diterima sebagai dorongan untuk terus memperjuangkan kebenaran.

“Untuk memastikan pentadbiran keadilan dijalankan dengan adil dan saksama di negara ini, saya anggap segala kecaman dan kritikan sebagai satu dorongan untuk terus menjadi pembela kebenaran dan keadilan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas pemberian pengampunan tanpa syarat yang menurutnya telah diumumkan secara rasmi oleh Istana Johor.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya dipersoalkan atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak demi menjaga kemuliaan dan institusi diraja, selain menganggap isu berkenaan telah selesai.

Kamal Hisham berkata, beliau kini menjalankan tugas sebagai peguam bela dan peguam cara secara aktif seperti biasa kerana mendakwa tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah, sekali gus menyangkal dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah di media sosial.

“Jika saya mempunyai sabitan jenayah, sudah pasti Majlis Peguam Malaysia tidak akan mengeluarkan Sijil Amalan Guaman kepada saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pasukan guamannya sedang mengumpul bukti berkaitan kecaman, cercaan, fitnah dan kritikan yang didakwa melampaui batas undang-undang untuk tindakan lanjut.