KUALA LUMPUR - Dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi perempuan di sebuah pusat pembuangan sampah di Bangsar di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek lelaki berusia 23 tahun dan wanita berusia 31 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian.
"Kita percaya mereka terlibat dalam kes ini dan siasatan masih diteruskan,” katanya selepas menyempurnakan program Taman Angkat Amanita 2026 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang petugas Alam Flora yang menjumpai mayat bayi berukuran 28 sentimeter dan berusia dianggarkan sekitar tujuh bulan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berasingan, polis telah merekodkan empat keterangan berhubung siasatan sebuah audio siar yang memaparkan perkongsian pengalaman seorang bekas wartawan berkaitan isu dadah.
Fadil berkata, penganjur audio siar itu akan dipanggil dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Beliau berkata, perkongsian pengalaman perlu disampaikan secara bertanggungjawab supaya tidak mengelirukan orang ramai atau menimbulkan kegusaran awam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama