Penyintas strok masih berpeluang hidup berdikari

Iklan
Chun Yin (tengah) wakil kepada Chon Siang ketika merasmikan program Hope Beyond Stroke 2026 sempena Hari Strok Sedunia di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Sabtu.

KUANTAN – Penyintas strok masih berpeluang menjalani kehidupan lebih baik dan berdikari menerusi rawatan yang tepat, rehabilitasi berterusan serta sokongan keluarga dan masyarakat.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, strok bukanlah pengakhiran segala-galanya kerana penyintas masih mempunyai harapan untuk meneruskan kehidupan.

Iklan
Iklan

“Dengan rawatan yang tepat, pemulihan berterusan serta sokongan keluarga dan masyarakat, para penyintas strok berpeluang menjalani kehidupan yang lebih baik dan berdikari.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM) cawangan Kuantan yang terus memainkan peranan penting dalam membantu penyintas strok melalui perkhidmatan pemulihan dan sokongan,” katanya.

Iklan

Teks ucapan Chon Siang disampaikan wakilnya, Lee Chun Yin, ketika merasmikan program Hope Beyond Stroke 2026 sempena Hari Strok Sedunia di sebuah pusat membeli-belah di sini pada Sabtu.

Program bertemakan Prevent Early, Recover Stronger, Live Fully itu turut menyediakan ruang untuk orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pencegahan strok, pengenalpastian tanda-tanda awal, kepentingan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera dan peranan rehabilitasi dalam membantu proses pemulihan serta meningkatkan kualiti hidup pesakit strok.

Iklan

Antara aktiviti dianjurkan ialah saringan kesihatan dan konsultasi risiko strok secara percuma, forum Beyond Stroke – Masih Ada Harapan, pendidikan BeFAST Heroes untuk kanak-kanak serta aktiviti khas untuk penyintas strok menerusi Challenge Beyond Stroke.

Lebih 300 peserta terdiri daripada orang awam, penyintas strok, penjaga, profesional kesihatan, pelajar serta rakan kerjasama komuniti hadir pada program tersebut.

Chon Siang berkata, setiap langkah kecil dalam proses pemulihan merupakan satu kejayaan bermakna kepada penyintas strok.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga dan penjaga atas kasih sayang, kesabaran serta pengorbanan mereka dalam membantu penyintas strok.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi NASAM, Janet Yeo berkata, program Hope Beyond Stroke bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa penyintas strok masih mempunyai harapan untuk meneruskan kehidupan, selain mendidik masyarakat mengenali tanda awal serangan strok.

Menurutnya, orang ramai perlu memahami kaedah FAST yang merangkumi perubahan pada muka (Face), kelemahan tangan (Arm), gangguan pertuturan (Speech) dan kepentingan masa (Time) untuk mendapatkan rawatan segera.

Janet yang mengalami strok berkata, penyintas strok tidak seharusnya berputus asa kerana mereka masih berpeluang meningkatkan kualiti hidup meskipun tidak dapat pulih sepenuhnya seperti sediakala.

Tambahnya, pendekatan rehabilitasi NASAM bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemulihan fizikal, malah turut merangkumi aspek perasaan, keyakinan diri, emosi dan harapan penyintas strok.

“Walaupun anda tidak dapat pulih 100 peratus, jika anda mampu mendapatkan semula 30 peratus keupayaan, itu lebih baik daripada sifar.

“Di NASAM, kami bukan sahaja menjaga tangan dan kaki, tetapi turut memberi perhatian kepada perasaan, keyakinan diri, emosi dan harapan penyintas strok,” katanya.