HULU SELANGOR - Seorang pembonceng motosikal maut selepas terjatuh sebelum dilanggar sebuah lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 412.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada Jumaat.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.45 malam apabila motosikal jenis Honda RS150R yang dinaiki mangsa bersama seorang penunggang dalam perjalanan dari Tanjung Malim menuju ke Rawang.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden M Manimaran berkata, motosikal itu dipercayai melanggar objek tidak dikenal pasti di lorong kecemasan, menyebabkan tayar hadapannya pecah sebelum penunggang dan pembonceng terjatuh di atas jalan raya.
"Sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang datang dari arah belakang kemudian melanggar pembonceng Honda RS150R yang terbaring di lorong kiri.
"Tidak lama kemudian, sebuah lori dari arah sama turut melanggar pembonceng berkenaan sebelum meneruskan perjalanan tanpa menyedari kemalangan itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
"Kedua-dua penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Manimaran berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 12.05 tengah malam, Sabtu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis sedang giat mengesan lori yang terlibat dalam kemalangan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan,” katanya.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi MT Abu @ Ramli menerusi talian 03-6064 1222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.