KUCHING - Suspek yang dipercayai menyerang seorang guru sehingga cedera di sebuah sekolah antarabangsa di sini pada Rabu lepas masih menerima rawatan di hospital.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Saifullizan Ishak berkata, polis akan meneruskan siasatan dengan mengambil kira kesihatan suspek serta nasihat dan penilaian pihak pegawai perubatan.
"Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan fakta yang diperoleh dan peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifullizan berkata, setakat ini, sebanyak 24 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau juga meminta orang ramai untuk menghormati privasi semua pihak yang terlibat dan tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi, khususnya individu di bawah umur.
Pada 21 Oktober, Saifullizan mengesahkan seorang guru wanita cedera dipercayai akibat diserang seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah antarabangsa di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.- Bernama