Ejen hartanah direman dua hari bantu siasatan kemalangan maut

Iklan
Suspek dibawa oleh anggota polis ke mahkamah untuk proses reman.

GEORGE TOWN – Seorang ejen hartanah direman dua hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa dua penunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini pada awal pagi Khamis.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Hanisha S H Hamid di Mahkamah Majistret di sini.

Iklan
Iklan

Ia bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Terdahulu, suspek yang memakai baju-T berwarna hitam dan berseluar pendek tiba di pekarangan mahkamah sambil diiringi anggota polis kira-kira jam 9 pagi.

Iklan

Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Nazhif Faris Mohd Fauzi, 22 bersama Daniesha Hana Mohd Hairul, 20 maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang di lokasi berkenaan.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri.

Iklan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil bedah siasat mendapati penunggang motosikal lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala dan leher susulan kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili suspek, RSN Rayer berkata, pihak polis pada awalnya memohon tempoh reman selama empat hari terhadap anak guamnya namun mahkamah memutuskan untuk membenarkan tahanan reman selama dua hari.

Menurutnya, anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak polis dan hadir menyerah diri di balai polis bagi membantu siasatan.

“Anak guam saya bekerjasama dengan polis dan telah menyerah diri di balai polis.

“Di bawah undang-undang, mana-mana individu yang ditahan mempunyai hak untuk berdiam diri dan tidak perlu memberikan sebarang kenyataan.

"Jadi, mahkamah membenarkan pihak polis menjalankan siasatan,” katanya selepas prosiding reman di Mahkamah Majistret di sini.