AI kesan kelemahan kritikal internet global

Iklan
AI bantu kesan kelemahan. Foto dijana AI

WASHINGTON - Sejumlah laman web kerajaan, syarikat dan perkhidmatan digital di seluruh dunia terpaksa ditutup sementara pada Rabu selepas dua kelemahan keselamatan kritikal yang ditemukan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) mencetuskan kebimbangan serangan siber berskala besar.

Menurut laporan AFP, kelemahan itu melibatkan PHP, bahasa pengaturcaraan yang menjadi asas kepada kira-kira 70 peratus laman web di seluruh dunia, termasuk platform berita, perniagaan dalam talian dan perkhidmatan kerajaan.

Iklan
Iklan

Firma keselamatan siber Wiz menyifatkan penemuan tersebut sebagai antara kelemahan paling serius pernah dikesan dalam sejarah PHP, malah berpotensi memberi kesan besar terhadap keselamatan internet global.

Kelemahan berkenaan membolehkan penggodam mengambil alih pelayan laman web tanpa memerlukan kata laluan, selain berpotensi mengakses fail serta pangkalan data sensitif.

Iklan

Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat (NSA) menggesa organisasi segera memasang kemas kini keselamatan atau menutup sementara sistem yang terdedah kepada ancaman.

Menurut Yayasan PHP, dua kelemahan tersebut telah diperbaiki menerusi kemas kini keselamatan yang dikeluarkan pada Rabu.

Iklan

AI bantu kesan kelemahan

Firma keselamatan Calif dilaporkan mengesan kelemahan itu pada Ogos lalu menggunakan model AI GPT-5.6 Sol menerusi program audit kod yang dibiayai OpenAI.

Wiz yang dimiliki Google pula menemukan kelemahan sama secara berasingan beberapa minggu kemudian dengan bantuan model AI termasuk Gemini 4 Argon.

OpenAI menyifatkan penemuan berkenaan sebagai antara kelemahan keselamatan paling berimpak tinggi sejak kebelakangan ini.

Penemuan tersebut turut menunjukkan bagaimana AI semakin berupaya mengesan kelemahan tersembunyi dalam perisian yang digunakan secara meluas.

Bagaimanapun, butiran kelemahan itu dilaporkan tersebar dalam talian pada Selasa, sehari sebelum kemas kini keselamatan dikeluarkan, sekali gus menyebabkan pelbagai organisasi mengambil langkah kecemasan.

Di Perancis, beberapa laman web kerajaan tempatan termasuk laman polis Paris ditutup sementara atas arahan agensi keselamatan siber negara itu.

Belanda turut menutup perkhidmatan identiti digital DigiD, laman web Dewan Perwakilan dan pusat keselamatan siber nasional sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Australia, laman web keselamatan siber kerajaan, cyber.gov.au turut dilaporkan terjejas.

Sementara itu, Yayasan Wikimedia yang mengendalikan Wikipedia memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan perkhidmatan ketika kerja pembaikan dijalankan.

Beberapa aplikasi permainan popular termasuk Pokémon HOME, Pokémon Champions dan Pokémon Sleep turut menjalani penyelenggaraan kecemasan.

Pakar keselamatan memberi amaran bahawa penggunaan AI berpotensi mempercepat penemuan kelemahan perisian, sekali gus memaksa organisasi meningkatkan keupayaan keselamatan dan mempercepat pemasangan kemas kini.

Gangguan itu turut menjejaskan industri permainan digital menjalani penyelenggaraan kecemasan. Pengendali permainan popular Jepun, Umamusume turut melaksanakan kerja pembaikan bagi menangani kelemahan PHP yang ditemukan pada pelayannya.

Pakar AI dari Universiti Pennsylvania, Ethan Mollick berkata, syarikat teknologi kini berdepan cabaran untuk mengikuti kadar kemas kini keselamatan yang semakin pantas susulan perkembangan AI.

Menurutnya, pengguna juga perlu bersedia melakukan kemas kini perisian dengan lebih kerap bagi mengurangkan risiko serangan siber. - AFP