KUALA LUMPUR - Nasib 687,697 pengundi berdaftar di Melaka antara perkara yang dibangkitkan Perikatan Nasional (PN) dalam mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Peguam yang mewakili PN, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, tindakan berkenaan bukan sekadar memberi kesan kepada gabungan itu, malah turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan wakil rakyat serta pentadbiran negeri yang diterajui PN.
Menurutnya, perkara itu antara hujahan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bagi menjelaskan kepentingan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan pembatalan berkenaan.
"Kita pun menyatakan apakah nasib 74 Ahli Parlimen Perikatan Nasional, lebih kurang 200 lebih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional serta tiga atau empat buah negeri yang Perikatan Nasional kuasai di peringkat negeri," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan notis pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dua hari lalu, digantung oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.
Hakim, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian membenarkan permohonan gabungan parti itu supaya notis berkenaan digantung sehingga prosiding subtantif semakan kehakiman didengar.
Keputusan ini dibuat sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Melaka, dengan gabungan itu berusaha mempertahankan haknya untuk bertanding menggunakan nama dan logo sendiri.
Semasa membaca keputusan, Azizan berkata, mahkamah mendapati wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan tersebut, khususnya potensi kemudaratan terhadap aktiviti politik PN serta penyertaannya dalam PRN.
Pada Khamis, peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili PN manakala Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhaffiza Azizan.
Pada 22 September, RoS mengeluarkan notis kepada PN, sebelum perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu berkuat kuasa pada 23 September.
RoS pada 24 September lalu, mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN dengan tindakan itu diambil di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Lima pemimpin parti komponen PN, diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku pemohon pertama, kemudiannya memohon untuk semakan kehakiman bagi mencabar perkara itu.
Empat pemohon lain ialah Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People's Party, N Sathes Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair, Datuk Sazmi Miah.
Dalam permohonan itu, Ketua Pengarah RoS, Datuk Muhammad Zulfiqar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinamakan sebagai responden-responden.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, PN menyatakan, notis RoS itu memberi kesan kepada parti-parti di bawah gabungan tersebut yang akan bertanding pada PRN Melaka ke-16 kelak.
PN mendakwa kegagalan menangguhkan atau membatalkan notis sebelum hari penamaan calon akan menjejaskan penyertaan gabungan dalam PRN.
Dalam sijil perakuan segera yang difailkan bersama permohonan, PN turut mendakwa notis itu menghalang gabungan berkenaan menjalankan kegiatan politik seperti biasa, termasuk memberi kuasa kepada calon untuk bertanding menggunakan nama dan logo gabungan parti.
Menurut gabungan itu, sebarang keputusan mahkamah selepas hari penamaan calon akan terlambat kerana peluang untuk meletakkan wakil menggunakan nama dan logonya, tidak lagi dapat dikembalikan.
Selepas mendengar hujahan semua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad membenarkan PN memulakan semakan kehakiman terhadap notis berkenaan dan menetapkan pendengarannya, pada 22 Oktober.
Bagaimanapun, pada 20 Oktober, RoS membuat kejutan apabila membatalkan pendaftaran PN, selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September.
Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, Muhammad Rafique berkata, perkara berkenaan menunjukkan terdapat persoalan penting yang perlu diteliti mahkamah dan tidak seharusnya diketepikan menerusi keputusan pembatalan pendaftaran secara tergesa-gesa.
Mengulas kronologi kes, Muhammad Rafique berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu memberikan beberapa arahan kepada pihak-pihak terlibat berhubung permohonan PN untuk mencabar tindakan penggantungan dan pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Katanya, antara arahan diberikan ialah pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan afidavit jawapan pada 16 Oktober, manakala pihak peguam PN perlu memfailkan jawapan pada 19 Oktober sebelum hujahan bertulis dikemukakan pada 21 Oktober.
Bagaimanapun, beliau berkata, PN dimaklumkan mengenai pembatalan pendaftarannya pada 20 Oktober, kurang 48 jam sebelum prosiding bagi menghujahkan permohonan penangguhan itu berlangsung.
"Kita dikejutkan apabila pada 20 Oktober, sekitar jam 8 pagi hingga 8.30 pagi, Setiausaha Agung PN dimaklumkan bahawa Perikatan Nasional telah pun dibatalkan, kurang 48 jam sebelum kita perlu hadir ke mahkamah untuk menghujahkan isu ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan RoS yang didakwa membuat keputusan pembatalan pada hari ke-28, sedangkan surat bertarikh 22 September memberikan tempoh 30 hari kepada PN untuk mengemukakan penjelasan.
Menurutnya, perkara itu antara isu yang dibangkitkan dalam hujahan berhubung pematuhan Seksyen 13 undang-undang berkaitan.
Bagaimanapun, Muhammad Rafique menjelaskan bahawa mahkamah belum memutuskan sama ada keputusan pembatalan RoS itu sah atau sebaliknya.
Sebaliknya, katanya, mahkamah membenarkan penangguhan sementara bagi memastikan PN dapat meneruskan operasi seperti biasa sehingga kes utama berhubung cabaran undang-undang itu diselesaikan.