SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Seremban mengeluarkan perintah injunksi ex parte terhadap Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard, berhubung penyebaran kenyataan didakwa memfitnah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta inisiatif Rolling Stock Strategy (RSS).
RAC dalam satu kenyataan berkata, perintah itu antara lain menghalang Chegubard daripada mengucapkan, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan yang dinyatakan dalam perintah berkenaan.
Ia termasuk dakwaan bahawa aset kereta api dijual sebagai besi buruk dan RSS diberikan tanpa proses perolehan serta pemilihan syarikat yang sewajarnya.
Baru-baru ini video ucapan Chegubard tular di media sosial mendakwa wujud isu penyelewengan dan skandal perniagaan lebih besar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan aset kereta api negara di bawah RAC.
Antara dakwaan beliau termasuklah wujud penjualan aset penting milik kereta api negara yang dijual dengan harga besi buruk kepada syarikat luar.
Selain itu beliau turut mendakwa aset yang dijual tersebut disewakan semula oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kos yang merugikan.
Kenyataan tersebut menjelaskan, RSS melibatkan kerja baik pulih dan pembinaan semula terhadap 44 lokomotif Kelas 25, 26 dan 29 serta pembekalan 246 wagon baharu jenis 20-TAL bagi menyokong operasi kargo rel.
“Daripada 44 lokomotif itu, 20 unit sedang aktif digunakan, manakala 24 unit tidak aktif dan akan menjalani proses berkenaan,” ujarnya.
RAC menegaskan inisiatif berkenaan bukan penjualan aset strategik kereta api negara, sebaliknya menggunakan kaedah jual dan pajak semula merangkumi penyelenggaraan, baik pulih menyeluruh serta jaminan ketersediaan aset sepanjang tempoh pajakan 25 tahun.
“Komitmen pajakan bagi lokomotif dan wagon di bawah RSS adalah kira-kira RM4.4 bilion untuk tempoh 25 tahun, termasuk kos penyelenggaraan, bukannya konsesi RM40 bilion seperti yang didakwa,” katanya.
Dalam pada itu, RAC menafikan dakwaan bahawa RSS diberikan secara terus tanpa proses perolehan sewajarnya.
Menurut RAC, pemilihan syarikat pelaksana dibuat melalui proses permintaan cadangan (RFP) terbuka yang diiklankan pada 18 Mei 2023.
“Cadangan yang diterima dinilai oleh jawatankuasa teknikal dan kewangan yang diwakili Kementerian Pengangkutan, RAC dan KTMB dengan semakan turut dilakukan oleh konsultan bebas sebelum cadangan itu dibentangkan serta diluluskan Jemaah Menteri,” jelas kenyataan tersebut.
Berhubung dakwaan kaitan syarikat yang dilantik dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), RAC berkata, pihaknya tidak mempunyai pengetahuan mengenai sebarang siasatan, pertuduhan atau dapatan agensi rasuah itu yang memudaratkan terhadap syarikat berkenaan.
RAC menjelaskan pelaksanaan RSS juga tidak melibatkan pengambilalihan hak pengendalian perkhidmatan kereta api KTMB atau penyerahan keseluruhan aset strategik negara kepada mana-mana syarikat.
“RAC kekal sebagai pemilik dan pengurus aset kereta api, manakala KTMB terus menjalankan fungsi sebagai pengendali perkhidmatan kereta api,” katanya lagi.