MyHero angkat wira tidak didendang - Ikon Perpaduan 2025

Iklan
Tengku Hadzali

SHAH ALAM - Masih ramai 'unsung heroes' atau wira yang tidak didendang di negara ini sama ada di bandar mahupun luar bandar yang tidak mendapat pengiktirafan dan perhatian umum.

Ikon Perpaduan Tahun 2025, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar berkata, mereka sanggup melakukan kerja kebajikan dan menghulurkan bantuan secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, oleh sebab itu penganjuran Anugerah MyHero dilihat sebagai platform penting untuk mengenal pasti dan mengiktiraf individu yang berjasa.

“Sebagai contoh, dalam pendermaan darah, kita tahu hospital menerima bekalan darah, tetapi kita mungkin tidak mengenali individu yang menderma darah itu.

Iklan

“Begitu juga dengan wira masyarakat. Mereka ada di sekeliling kita, tetapi sumbangan mereka mungkin tidak diketahui ramai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Pelancaran Anugerah MyHero 5.0 yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, di sini pada Khamis.

Iklan

Anugerah itu dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) serta Nanyang Siang Pau dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara.

Permohonan perlulah dikemukakan secara dalam talian selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026 dan terbuka kepada dua kategori iaitu kategori dewasa (21 tahun ke atas) dan Kategori Remaja (21 tahun ke bawah).

Program yang berteraskan slogan 'Mengubah Kehidupan Kaum Lain, Membina Perpaduan Negara' itu terbuka kepada rakyat Malaysia dan tidak pernah menerima anugerah yang serupa daripada mana-mana organisasi lain.

Beliau yang juga merupakan atlit beregu dart negara berpendapat, perbezaan seseorang berdasarkan warna kulit, bangsa atau agama tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk rakyat Malaysia hidup bersama dan saling membantu.

Jelasnya, dalam usaha memupuk perpaduan, semua pihak perlu melihat setiap individu sebagai sebahagian daripada masyarakat yang sama, tanpa mengira keturunan atau latar belakang mereka.

Tambah beliau, perkara yang lebih penting ialah semangat untuk bersatu, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain demi membina sebuah negara yang harmoni.

"Pada pandangan saya, perpaduan di Malaysia berada pada tahap yang baik, namun masih boleh diperkukuh dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

"Kita masih melihat sebahagian masyarakat yang cenderung bergerak dalam kelompok masing-masing sedangkan, matlamat sebenar yang ingin dicapai ialah perpaduan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

"Saya sendiri berbangsa Melayu, manakala pasangan beregu saya berbangsa Cina. Namun, perkara itu tidak menjadi penghalang kerana kita semua rakyat Malaysia dan yang paling penting, kita ialah manusia," ujarnya.