Bersih sambut dua dekad perjuangan reformasi pilihan raya

Iklan
Muhammad Faisal (tujuh dari kanan) mengadakan sidang akhbar sempena sambutan 20 tahun Bersih: Suara Kita, Kuasa Kita pada 21 November depan di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-20 bagi memperingati perjuangan rakyat dalam menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sambutan itu bukan sekadar mengenang sejarah perjuangan, malah menjadi wadah memperbaharui tekad untuk memperkukuh demokrasi, menegakkan keadilan dan memastikan pemerintahan lebih bertanggungjawab kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sepanjang dua dekad lalu, gerakan itu merekodkan pelbagai pencapaian dalam usaha menyuburkan demokrasi dan menambah baik sistem pemerintahan politik negara, meskipun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

"Pencapaian yang dikecapi membuktikan bahawa perjuangan rakyat mampu membawa perubahan yang bermakna.

Iklan

Sambutan bertemakan 'Suara Kita, Kuasa Kita' itu akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur pada 21 November ini dengan pelbagai aktiviti bagi mengimbas perjalanan gerakan reformasi pilihan raya negara.

Antara pengisian utama sambutan ialah pameran 20 Tahun BERSIH: Dari Aksi ke Aksi, yang dikendalikan aktivis sejarah demokrasi dan sosial, Zikri Rahman.

Iklan

Turut diadakan ialah sesi perkongsian pengalaman di sebalik gerakan itu bersama penulis buku We Are Marching Now: The Inside Story of Bersih 1.0, Danny Lim, selain perkongsian pengalaman empat generasi aktivis BERSIH yang menerajui pergerakan berkenaan sehingga kini.

Muhammad Faisal berkata, sambutan itu juga turut menyaksikan penyampaian Anugerah Bersih untuk Demokrasi kepada pertubuhan yang banyak menyokong gerakan masyarakat sivil di Malaysia.

"Bersih juga ingin merakamkan penghargaan buat para aktivis yang telah meninggalkan kita. Sumbangan, pengorbanan dan semangat mereka telah menjadi sebahagian dari sejarah perjuangan demokrasi negara.

"Perjuangan demokrasi ini tidak pernah menjadi milik satu organisasi atau kelompok semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat yang mendambakan sebuah negara yang lebih adil, demokratik dan bermaruah," katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai barangan kenangan daripada demonstrasi BERSIH terdahulu turut dipelawa meminjamkan atau menyumbangkannya untuk dipamerkan menerusi pameran berkenaan.

Bersih juga mengalu-alukan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil, mahasiswa, pengamal media, aktivis, parti politik dan seluruh rakyat Malaysia bagi menjayakan sambutan itu.