Rangka manusia, sampah berlapis cabar kerja korekan Sungai Klang

Iklan
Izham (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta Bengkel FOR di Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - Timbunan sampah berlapis-lapis di dasar Sungai Klang termasuk rangka manusia, basikal, tilam dan seluar jeans menyebabkan kerja mengorek sungai itu berdepan kesukaran apabila mesin digunakan mudah tersumbat dan rosak.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, keadaan itu tidak dijangka ketika kerja pemulihan sungai sepanjang 54 kilometer itu dirancang kerana dasar sungai didapati dipenuhi lapisan sampah dan lumpur terkumpul sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Sungai Klang kali terakhir menjalani kerja korekan pada 2001 menyebabkan pelbagai jenis sampah terkumpul di dasar sungai selama kira-kira 25 tahun.

"Apabila kita turun ke Sungai Klang, kita dapati dalamnya ada lapisan sampah kemudian lumpur, diikuti sampah dan lumpur lagi," katanyam

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Bengkel Friends of River (FOR) anjuran Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di sini pada Khamis.

Izham berkata, bahan seperti seluar jeans juga boleh menyebabkan mesin tersumbat kerana materialnya yang kuat walaupun sudah lama terendam di dalam air.

Iklan

Katanya, keadaan itu menyebabkan mesin korekan mengalami kerosakan dengan lebih cepat sekali gus menjadi antara cabaran dalam melaksanakan kerja pemulihan sungai berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri menambah jumlah mesin korekan kepada tiga unit bagi menangani cabaran berkenaan.

Beliau berkata, kerja korekan itu dianggarkan mencapai sekitar 30 hingga 40 peratus, manakala pelaksanaannya memerlukan masa berikutan keadaan dasar sungai yang kompleks.

Dalam pada itu, Izham berkata, pemulihan Sungai Klang berpotensi disiapkan dalam tempoh tiga tahun berbanding sasaran asal lima tahun susulan pelaksanaan beberapa projek berkaitan oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau memberitahu, projek kerajaan negeri itu mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek di bahagian hulu dan hilir sungai yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan kerja pemulihan sungai dilaksanakan secara serentak sekali gus berpotensi mempercepatkan penyempurnaan projek berkenaan.

"Pada peringkat awal, kita menyasarkan keseluruhan Sungai Klang ini dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun, namun saya yakin kita boleh mempercepatkan pelaksanaannya,” jelas beliau

Beliau menjelaskan, kos yang perlu ditanggung kerajaan negeri turut berkurangan susulan pelaksanaan projek oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, perbelanjaan kerajaan negeri bagi kerja berkaitan kini dianggarkan lebih RM200 juta, namun angka tepat masih perlu diperincikan.

"Usaha pemulihan Sungai Klang akan diteruskan bagi memastikan fungsi sungai sebagai saliran utama serta sumber air mentah dapat dipelihara," tambah beliau.