IPOH - Seorang pemilik bengkel lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas lapan pertuduhan gagal menjelaskan cukai barang dan perkhidmatan serta penalti berjumlah lebih RM271,000.
Look Pek Kong, 48, sebagai orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang merupakan orang kena cukai di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 didakwa melakukan kesalahan gagal membayar cukai barang dan perkhidmatan yang genap masa dan kena dibayar untuk lapan tempoh cukai terlibat seperti ditetapkan pada Ketua Pengarah Kastam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak di sini dengan jumlah tunggakan cukai dan penalti bagi tujuh tempoh bercukai terbabit ialah RM271,875.33.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(7) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Pek Kong turut berdepan dua lagi pertuduhan masing-masing di bawah Seksyen 165 (4) akta yang sama kerana gagal mengemukakan dokumen yang diminta oleh pegawai kastam dan Seksyen 57(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 kerana gagal mengemukakan mengemukakan dokumen yang diminta oleh pegawai kastam.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Nur Amalina Ahmad Nazeri dan Ar Junadi Jamaludidn manakala OKS tiadk diwakili peguam.
Mahkamah membenar jaminan sebanyak RM8,000 terhadap OKS dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 November sebagai sebutan semula kes.