Gabung teknologi pintar dan kebersihan, Taman Tasik Shah Alam menang tandas terbaik PBT 2026

Iklan
Kor Ming (tengah) menyampaikan hadiah kemenangan Anugerah Tandas Terbaik TOTYA ’26 kepada Zabidah (lima dari kiri).

SHAH ALAM - Tandas Awam Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini dinobatkan sebagai tandas terbaik kategori pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA ’26).

Kemenangan itu membolehkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membawa pulang wang tunai RM20,000 menerusi pengiktirafan terhadap kemudahan tandas awam yang menggabungkan teknologi pintar, kebersihan dan elemen kelestarian alam sekitar.

Iklan
Iklan

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata, tandas awam itu dinaik taraf sepenuhnya bagi menggantikan kemudahan lama yang uzur sebelum siap dibina pada Oktober 2025.

"Antara ciri inovasi diperkenalkan ialah panel maklum balas pintar yang membolehkan pengguna menyalurkan aduan secara digital, termasuk berkaitan lantai basah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Anugerah itu disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zabidah Safar.

Mohd Fauzi memberitahu, sistem itu turut membolehkan pengering lantai berfungsi secara automatik apabila pengguna membuat pilihan aduan lantai basah.

Iklan

Beliau berkata, kemudahan itu turut dilengkapi penunjuk kekosongan kubikel bagi memudahkan pengguna mengenal pasti tandas yang boleh digunakan, selain paip sinki bersensor dan pengering tangan automatik.

Menurutnya, aspek kelestarian turut diberi perhatian menerusi penggunaan lampu LED dan sistem penuaian air hujan bagi kerja pembersihan tandas serta penyelenggaraan landskap.

"Reka bentuk bangunan dengan siling tinggi juga membantu melancarkan pengudaraan dan mewujudkan persekitaran lebih nyaman kepada pengguna.

"Lebih membanggakan, reka bentuk tandas awam ini dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan dalaman Jabatan Bangunan MBSA tanpa melibatkan perunding luar," ujarnya.

Beliau menjelaskan, penyelenggaraan tandas itu dikendalikan Jabatan Landskap, manakala Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa berperanan sebagai urus setia tandas awam MBSA bagi menyelaras pengurusan berkaitan.

"Kemenangan ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan MBSA menyediakan prasarana awam berkualiti, inovatif dan mampan, selaras dengan aspirasi Shah Alam Indah Bestari," tambah beliau.