Bekas pemimpin DUP, Jeffrey Donaldson disiasat dakwaan rogol wanita dalam Parlimen

Iklan
Jeffrey Donaldson. Foto Liam McBurney via PA

IRELAND - Polis Servis Metropolitan Ireland Utara (PSNI) sedang menyiasat dakwaan bekas pemimpin Parti Kesatuan Demokratik (DUP), Jeffrey Donaldson merogol seorang wanita di dalam Parlimen pada 2016.

Ibu pejabat polis Scotland Yard mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) pada 13 Oktober lalu berhubung dakwaan rogol di Westminster melibatkan seorang lelaki yang kini berusia 63 tahun.

Iklan
Iklan

Akhbar Belfast Telegraph sebelum ini melaporkan dakwaan itu membabitkan seorang wanita dari Ireland Utara.

Menurut laporan berkenaan, Donaldson didakwa menjemput wanita itu melawat Dewan Rakyat sebelum memperkenalkannya kepada beberapa tokoh berprofil tinggi.

Iklan

Beliau kemudian dikatakan membawa wanita berkenaan makan malam sebelum membawanya ke pejabat DUP di bangunan Parlimen.

Belfast Telegraph turut melaporkan wanita itu menerima sekeping foto Donaldson ketika tempoh sekatan pergerakan Covid-19.

Iklan

Foto berkenaan memaparkan wajahnya menggunakan penapis Snapchat bersama mesej yang merujuk kepada kesediaannya kembali berhadapan dengan orang ramai selepas tempoh pengasingan berakhir.

Wanita itu dilaporkan sudah ditemu bual pegawai PSNI sebelum kes berkenaan dirujuk kepada Polis Metropolitan kerana kejadian yang didakwa berlaku itu membabitkan lokasi di London.

Polis Metropolitan mengesahkan dakwaan rogol itu dikatakan berlaku di dalam Parlimen pada 2016.

Jurucakap Polis Metropolitan berkata, siasatan bagaimanapun masih di peringkat awal.

"Dakwaan itu melibatkan seorang mangsa yang sedang menerima rawatan daripada pakar.

"Siasatan masih di peringkat awal. Tiada tangkapan dibuat," katanya pada Khamis.

Donaldson merupakan pemimpin DUP dari 2021 hingga 2024.

Awal bulan ini, Donaldson dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas beberapa kesalahan seksual lampau terhadap dua wanita ketika masih kanak-kanak.

Beliau disabitkan atas 18 kesalahan, termasuk satu pertuduhan rogol, 13 pertuduhan serangan tidak senonoh dan empat pertuduhan kelucahan melampau yang dilakukan antara 1985 hingga 2008.

Susulan sabitan itu, gelaran kesatrianya ditarik balik dan beliau disingkirkan daripada Majlis Privy (Privy Council).

Peguam beliau sebelum ini mengesahkan dokumen bagi mengemukakan rayuan telah difailkan.