KKM akan saran MKN kaedah tindakan lindungi zon hijau

Iklan
Noor Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyarankan tindakan sewajarnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melindungi kawasan zon hijau daripada wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun Perlis kini bebas wabak Covid-19, fokus tindakan bukan setakat negeri tetapi juga bagi daerah dan mukim.

Iklan
Iklan

"Kita dalam proses melihat bukan hanya negeri tapi juga daerah dan mukim. Kita sedang buat perancangan untuk tindakan selanjutnya.

"Perbincangan dengan MKN akan dibuat untuk melihat kawasan-kawasan zon hijau. Kawasan zon hijau perlu dilindungi.

Iklan

"Tindakan seterusnya kita akan maklumkan seminggu dua ini," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai pergerakan rakyat di Perlis sama ada negeri itu akan dijadikan sebagai projek rintis bagi menamatkan PKP setelah negeri itu dikenal pasti sebagai zon hijau berikutan tiada kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat ini.

Iklan

Perlis menjadi negeri pertama di negara ini bebas daripada wabak berkenaan selepas 18 kes positif sebelum ini telah pulih sepenuhnya.

Data berkenaan dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan apabila kesemua daerah di negeri itu berada di bawah zon hijau.

Sebelum ini, sembilan mukim negeri itu 'diserang' Covid-19 manakala 13 yang lain bebas jangkitan wabak berkenaan.

Selain Perlis, Kelantan turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan yang mana hanya Kota Bharu dan Tanah Merah merekodkan kes aktif iaitu enam dan satu kes.

Tujuh daerah lain di Kelantan kini berada di zon hijau.