Pengguna e-hailing berisiko tanggung beban

Iklan
Peningkatan tambang bagi setiap perjalanan tidak semestinya menjamin pertambahan pendapatan pemandu. Gambar kecil: Siong Hook

PERBELANJAAN pengguna e-hailing berisiko meningkat sehingga RM154 sebulan atau RM1,848 setahun, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap kos sara hidup golongan B40 dan M40 sekiranya kadar tambang minimum bagi perkhidmatan tersebut dinaikkan kepada RM8.50.

Lebih membimbangkan, peningkatan perbelanjaan isi rumah itu boleh mengurangkan kuasa beli pengguna, sekali gus menjejaskan permintaan terhadap perkhidmatan e-hailing berikutan sensitiviti pengguna terhadap perubahan harga.

Iklan
Iklan

Profesor Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Siong Hook berkata, walaupun tambahan RM3.50 bagi setiap perjalanan kelihatan kecil, kesannya menjadi lebih ketara apabila perkhidmatan itu digunakan secara kerap untuk ke tempat kerja, institusi pendidikan, pusat kesihatan dan urusan harian.

Menurut beliau, kesan paling ketara akan dirasai pengguna yang ketika ini membayar tambang kurang daripada RM8.50, khususnya bagi perjalanan jarak dekat.

Iklan

"Sebagai contoh, seorang pekerja yang menggunakan perkhidmatan e-hailing dua kali sehari selama 22 hari bekerja akan membuat sebanyak 44 perjalanan sebulan.

"Jika tambang semasa ialah RM5 bagi setiap perjalanan, jumlah perbelanjaan bulanan adalah RM220. Namun, sekiranya tambang minimum meningkat kepada RM8.50, perbelanjaan itu akan meningkat kepada RM374 sebulan, iaitu tambahan RM154 sebulan atau RM1,848 setahun.

Iklan

"Bagi isi rumah yang berpendapatan RM3,000 sebulan, tambahan RM154 itu bersamaan kira-kira 5.1 peratus daripada pendapatan bulanan," katanya kepada Sinar Bisnes.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa desakan yang diutarakan oleh pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencadangkan kadar tambang lantai ditetapkan pada RM8.50 bagi setiap perjalanan.

Tambah beliau, angka tersebut mungkin kelihatan sederhana bagi golongan berpendapatan tinggi, namun boleh memberi tekanan kewangan yang lebih besar kepada keluarga berpendapatan rendah yang perlu mengutamakan perbelanjaan makanan, perumahan, pendidikan dan kesihatan.

"Pengguna yang mempunyai akses kepada pengangkutan awam juga mungkin memilih untuk mengurangkan penggunaan e-hailing, khususnya bagi perjalanan yang tidak mendesak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa peningkatan tambang bagi setiap perjalanan tidak semestinya menjamin pertambahan pendapatan pemandu.

"Sebagai contoh, seorang pemandu yang melengkapkan 100 perjalanan pada kadar RM5 akan menjana tambang kasar sebanyak RM500.

"Sekiranya tambang meningkat kepada RM8.50 tetapi jumlah perjalanan berkurangan 30 peratus kepada 70 perjalanan, jumlah tambang kasar masih meningkat kepada RM595.

"Sebaliknya, jika jumlah perjalanan merosot 50 peratus kepada hanya 50 perjalanan, jumlah tambang kasar akan berkurangan kepada RM425," katanya.

Kesan permintaan

Justeru, beliau menegaskan cadangan agar kadar tambang minimum RM8.50 tidak wajar diterima atau ditolak semata-mata berdasarkan kadar kenaikan sebanyak 70 peratus kerana kesannya terhadap permintaan berbeza mengikut kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

Ditanya mengenai kadar tambang minimum yang lebih sesuai, beliau berpandangan bahawa kadar antara RM5.00 hingga RM5.50 boleh dijadikan salah satu senario awal untuk dinilai bagi perjalanan jarak dekat sekiranya kerajaan ingin mempertimbangkan pelarasan secara berperingkat.

“Berbanding tambang asas RM5.00, kadar RM5.50 hanya mewakili peningkatan sebanyak 10 peratus, jauh lebih sederhana berbanding kenaikan 70 peratus sekiranya tambang minimum ditetapkan pada RM8.50.

“Sebarang pelarasan perlu mengambil kira keseimbangan antara keperluan meningkatkan pendapatan pemandu dengan kemampuan pengguna, khususnya mereka yang bergantung kepada perkhidmatan e-hailing untuk urusan harian.

"Pelarasan secara beransur-ansur berpotensi memberi ruang kepada pengguna untuk menyesuaikan perbelanjaan mereka, di samping membolehkan kesannya terhadap jumlah tempahan dan pendapatan pemandu dinilai dengan lebih teliti," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti struktur komisen platform kerana tambang yang dibayar pengguna tidak semestinya menggambarkan pendapatan bersih yang diterima pemandu.

Bagaimanapun, menurutnya, penilaian terhadap kadar komisen juga perlu mengambil kira manfaat dan perkhidmatan yang disediakan oleh platform kepada pemandu, termasuk perlindungan sosial, aspek keselamatan, mekanisme bayaran balik sekiranya penumpang gagal membuat pembayaran serta pelbagai bentuk sokongan bagi mengurangkan kos dan risiko operasi.

Menurutnya, kadar yang adil ialah kadar yang mampu memberikan pulangan munasabah kepada pemandu, setimpal dengan manfaat yang diterima, di samping mengekalkan permintaan terhadap perkhidmatan serta tidak membebankan pengguna secara berlebihan.

“Pendekatan penetapan tambang yang lebih fleksibel berdasarkan jarak perjalanan, masa, tahap kesesakan lalu lintas dan keadaan pasaran setempat boleh dipertimbangkan berbanding penggunaan satu kadar minimum yang seragam di seluruh negara.

“Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa kerajaan dan pemain industri wajar menjalankan kajian kos operasi yang turut mengambil kira struktur komisen, manfaat kepada pemandu serta projek rintis sebelum memuktamadkan kadar tambang minimum,” katanya.