Ibu meninggal atas motosikal ketika bawa anak berubat

Iklan
Kejadian itu mendapat perhatian ramai. Foto: Agensi

JAKARTA - Seorang ibu tunggal berusia 38 tahun meninggal dunia di atas motosikal ketika dalam perjalanan membawa anak bongsunya mendapatkan rawatan di sebuah klinik bidan di Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu lalu.

Lebih memilukan, mangsa, Lu'lu Atunni'mah menghembuskan nafas terakhir di hadapan anak lelakinya yang baru berusia tiga tahun di Jalan Raya Ponorogo-Pacitan, berhampiran Balai Polis Slahung.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Tribunnews pada Rabu, wanita dari Desa Jebeng, Slahung itu membesarkan empat anak seorang diri selepas suaminya meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu.

Mangsa yang bekerja sendiri dilaporkan dalam perjalanan membawa anak bongsunya mendapatkan rawatan kerana mengalami muntah-muntah.

Iklan

Jirannya, Ahmad Iqdam Muslihuddin berkata, Lu'lu membawa anaknya berjumpa bidan di Desa Gombang pada tengah hari Sabtu.

Bagaimanapun, keadaan kanak-kanak tersebut masih belum pulih menyebabkan mangsa mengambil keputusan membawanya mendapatkan rawatan sekali lagi pada sebelah petang.

Iklan

Ketika dalam perjalanan, Lu'lu dipercayai tiba-tiba berasa tidak sihat sebelum memberhentikan motosikalnya di tepi jalan.

"Beliau mungkin sudah merasakan sesuatu lalu memberhentikan motosikal di tepi jalan. Akhirnya, beliau meninggal dunia di situ," katanya pada Selasa.

Menurut Ahmad, Lu'lu dikenali sebagai seorang ibu yang rajin bekerja dan tidak pernah mengeluh mengenai masalah kesihatan.

Anak saksikan detik terakhir ibu

Saksi kejadian, Viki Prasetyo berkata, kanak-kanak terbabit pada mulanya berada di atas motosikal sebelum turun selepas menyedari ibunya kelihatan lemah.

Penduduk yang datang membantu kemudian mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Sektor Slahung, Asisten Komisioner Polis Pitoyo mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan mangsa mempunyai sejarah masalah gastrik berdasarkan keterangan keluarga.

"Menurut keluarga, mangsa memang mempunyai sejarah penyakit berkaitan perut," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan penyakit tersebut sebagai punca kematian.

Polis kemudian menyerahkan jenazah kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Lu'lu meninggalkan empat anak, dengan tiga daripadanya sedang menuntut di sekolah pondok, manakala anak bongsunya baru berusia tiga tahun.

Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian pengguna media sosial selepas kejadian berkenaan tular. - Agensi