PORT DICKSON - Seorang pelajar lelaki tahun akhir sebuah kolej di Melaka ditemukan maut di belakang sebuah restoran di Dataran Segar Lukut di sini, pada Rabu,
Mangsa berusia 21 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 6.05 pagi.
"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah telah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam keadaan berlumuran darah.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap, berusia 21 tahun dan merupakan pelajar tahun akhir di sebuah kolej di Melaka,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, mangsa sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hotel di situ.
Tambahnya, hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa yang dilakukan oleh forensik polis mendapati terdapat kecederaan pada bahagian muka serta patah pada bahagian tangan.
"Namun tiada sebarang kesan pergulatan atau kecederaan mempertahankan diri.
"Siasatan juga mendapati mangsa menginap di sebuah bilik sewa tiga tingkat yang dijadikan hostel berhampiran lokasi penemuan mayat,"katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di tempat tinggal mangsa mendapati tiada sebarang kesan geledah, selain tiada barang berharga atau dokumen peribadi milik mangsa yang hilang.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Port Dickson bagi tujuan bedah siasat.
"Proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 3 petang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan abdomen.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,"katanya.
Ahmad Afiq berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.