KUCHING – Remaja lelaki yang dipercayai menyerang seorang guru wanita menggunakan kapak di Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) pada pagi Rabu bukan lagi berstatus sebagai pelajar aktif institusi berkenaan.
Pihak TPH dalam satu kenyataan memaklumkan, pelajar terbabit kini berada dalam tahanan polis susulan kejadian yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat.
“Pelajar yang disyaki terlibat dalam kejadian itu kini berada dalam tahanan polis dan setakat ini individu berkenaan tidak lagi berstatus sebagai pelajar aktif TPH.
“Kes tersebut masih dalam siasatan polis dan pihak sekolah akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Menurut TPH, guru wanita yang menjadi mangsa serangan telah dibawa ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan sejurus selepas kejadian.
Setakat ini, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan kritikal.
“Guru wanita berkenaan dilaporkan semakin pulih dan tidak mengalami sebarang kecederaan kritikal.
“Pihak TPH amat menghargai keberanian serta ketenangan yang ditunjukkan oleh guru terbabit ketika insiden berlaku dan mendoakan agar beliau pulih sepenuhnya,” katanya.
Susulan insiden tersebut, pihak sekolah telah menyemak semula prosedur keselamatan sedia ada serta memperketat kawalan keselamatan hasil perbincangan dengan pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu, tiga anggota polis bantuan akan ditempatkan di kawasan sekolah berkuat kuasa serta-merta, manakala pemeriksaan keselamatan yang bersesuaian akan dijalankan terhadap individu yang memasuki kawasan sekolah.
“Pihak sekolah juga sedang meneliti langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh untuk dilaksanakan di kawasan sekolah,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pihak pengurusan sekolah akan mengadakan perhimpunan bersama pelajar bagi menjelaskan kejadian yang berlaku, memberi jaminan berkaitan aspek keselamatan serta menjawab sebarang kebimbangan yang dibangkitkan.
TPH turut mengesahkan operasi sekolah akan diteruskan seperti biasa pada Khamis selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 8.03 pagi berhubung seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan membawa mercun dan mencederakan seorang guru wanita menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di Kuching.