KUALA LUMPUR - Keunikan budaya, kepelbagaian makanan dan tarikan pelancongan Malaysia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa menerusi perkongsian kandungan pempengaruh digital kepada jutaan pengikut di seluruh dunia.
All Star Influencers Award (ASIA) 2026 merekodkan 3.8 bilion tontonan digital secara kumulatif sejak diperkenalkan pada 2023, sekali gus memperlihatkan potensi media sosial sebagai medium mempromosikan Malaysia kepada khalayak global.
Pengasas ASIA, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, penglibatan pempengaruh antarabangsa membolehkan pengalaman mereka meneroka destinasi tempatan dikongsi menerusi kandungan kreatif yang dekat dengan penonton.
“Pencapaian 3.8 bilion tontonan ini membuktikan bahawa kandungan digital mempunyai pengaruh besar dalam memperkenalkan Malaysia kepada dunia, khususnya menerusi keunikan budaya, makanan dan destinasi pelancongan kita.
“Melalui ASIA 2026, kita mahu memanfaatkan kekuatan pempengaruh antarabangsa untuk membawa cerita tentang Malaysia kepada khalayak global dengan cara yang lebih kreatif, autentik dan berkesan,” katanya.
Penganjuran ASIA 2026 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 menerusi promosi digital merentasi sempadan negara.
Seramai 110 pempengaruh dari 20 negara menyertai program itu dengan meneroka destinasi di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Langkawi, Pulau Pinang dan Sabah.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Jepun, Korea Selatan, Bahrain, Taiwan, India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Kemboja, Thailand, Rusia, Filipina, Arab Saudi dan Indonesia.
Abd Rahman berkata, pendekatan berkenaan membolehkan keindahan destinasi, keunikan budaya dan makanan tempatan diperkenalkan kepada pengguna media sosial di seluruh dunia menerusi pengalaman sebenar pempengaruh.
Kandungan yang dihasilkan turut berpotensi mengetengahkan destinasi kurang dikenali pelancong asing, meskipun keberkesanan promosi itu bergantung pada keupayaannya mendorong minat penonton untuk berkunjung, bukan sekadar meraih tontonan tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, pempengaruh dari Indonesia, Dinda Anwar, memenangi anugerah utama Best Influencer Award ASIA 2026 dengan membawa pulang trofi dan wang tunai AS$10,000 (RM42,000).
Dinda turut meraih pengiktirafan Best Culture Curator dengan hadiah wang tunai AS$1,000 (RM4,200), manakala Zulqarnain dari Pakistan menduduki tempat kedua dengan hadiah AS$5,000 (RM21,000).
Duc Koi dari Vietnam pula meraih tempat ketiga dengan membawa pulang trofi dan wang tunai AS$3,000 (RM12,600).
Hadiah disampaikan oleh Abd Rahman bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Mengulas penilaian pemenang, Abd Rahman berkata, pengiktirafan perlu mengambil kira kreativiti, kualiti penceritaan dan keupayaan menghasilkan kandungan yang memberi kesan kepada audiens, selain populariti.
“Kami mahu ASIA 2026 menjadi platform yang mengiktiraf pempengaruh bukan sekadar berdasarkan populariti, tetapi juga kreativiti, kualiti penceritaan dan keupayaan menghasilkan kandungan yang memberi impak kepada audiens.
“Tahniah kepada semua pemenang. Kami berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk mereka terus berkembang, menghasilkan kandungan berkualiti dan membina lebih banyak kerjasama merentasi negara,” katanya.
Sebanyak 13 kategori anugerah dipertandingkan pada edisi tahun ini, merangkumi penghasilan kandungan makanan, budaya, penceritaan, tarian, komedi dan penyuntingan video.