SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan kejadian siling terjatuh di laluan hadapan Zon Biru, Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada Selasa, namun insiden itu tidak melibatkan pesakit mahupun petugas hospital.
JKNS dalam kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku pada jam 7.15 malam itu berpunca daripada kebocoran paip yang berlaku di bahagian siling sehingga mengakibatkan kelemahan pada struktur tersebut.
Iklan
Iklan
"Kerja-kerja pembersihan, pembaikan, serta siasatan teknikal secara terperinci kini sedang dijalankan secara giat oleh pihak konsesi bagi memastikan keselamatan persekitaran terjamin,” menurut kenyataan itu.
Menurut JKNS, kerja-kerja pembaikan telah selesai dijalankan dan laluan tersebut telah dibuka semula pada jam 2.30 pagi Rabu.
Perkhidmatan di JKT HTAR terus beroperasi seperti sediakala tanpa sebarang gangguan dan JKNS kekal komited untuk memastikan keselamatan pesakit, pelawat, dan petugas kesihatan sentiasa menjadi keutamaan. - Bernama