Krisis Negeri Sembilan: 'Bukan lagi tangan ghaib, tapi tangan yang nampak' - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa krisis yang berlaku di Negeri Sembilan bukan lagi melibatkan tangan ghaib tetapi tangan yang nampak terang.

Abdul Hadi berkata, beliau kini melihat berlakunya pencabulan pada Perlembagaan terutama dalam pembentukan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Kita menyaksikan bagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, rakyat telah memilih kerajaan melalui parti-parti pada pilihan raya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum ini, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencelah perbahasan Abdul Hadi dan bertanyakan pandangan mengenai huru hara yang berlaku di Negeri Sembilan kerana ada tangan ghaib terbabit dan menafikan suara demokrasi rakyat di negeri berkenaan.

Iklan

Tambah Abdul Hadi, parti yang dipilih pada pilihan raya kemudian bersetuju menubuhkan kerajaan campuran membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, namun beliau kemudian difahamkan UMNO yang berada dalam BN tidak lagi mahu bekerjasama dengan PH.

Iklan

"Keadaan itu menimbulkan masalah kepada kerajaan yang dibentuk secara demokrasi sehingga exco pun nak dipecat. Tak tahu siapa yang ada kuasa pada Exco.

"Tak boleh masuk, jaga dan kawal pejabat, di mana demokrasi? Tak hormati demokrasi," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut membangkitkan persoalan mengenai amalan Raja Berperlembagaan dan kepentingan memastikan semua pihak bertindak mengikut kerangka Perlembagaan.

"Sistem demokrasi yang diamalkan negara perlu memastikan suara rakyat dihormati dan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri di bawah konsep federalisme turut dipelihara.

"Sebarang campur tangan yang menjejaskan prinsip berkenaan boleh memberi kesan besar terhadap sistem pemerintahan negara, hormati peranan institusi berkaitan termasuk mahkamah," jelasnya.