MALAYSIA Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuh kerjasama sedia ada menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu penyelesaian tenaga mampan, mobiliti hijau serta pembangunan infrastruktur rel yang lebih cekap tenaga dan berdaya tahan.
MoU menggabungkan peranan MRT Corp dalam membangun dan mengurus portfolio aset infrastruktur rel bandar yang luas dengan keupayaan TNB sebagai syarikat utiliti elektrik negara bagi mengenal pasti peluang yang dapat meningkatkan prestasi tenaga, menyokong mobiliti lebih hijau serta menyumbang kepada operasi infrastruktur lebih mampan.
Pada masa sama, ia turut mengukuhkan hubungan kerja sedia ada antara kedua-dua organisasi dalam projek MRT Laluan 1 (MRT1), MRT Laluan 2 (MRT2), Laluan Mutiara Pulau Pinang dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (Laluan RTS).
Kerjasama itu akan bermula di Laluan RTS, khususnya Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Chagar serta Depoh Wadi Hana, dengan kedua-dua pihak meneroka peluang untuk memperkenalkan penyelesaian tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan tenaga, menyokong mobiliti hijau dan memperkukuh kebolehpercayaan infrastruktur elektrik.
Pemilihan Laluan RTS sebagai titik permulaan kerjasama itu amat signifikan susulan kejayaan projek berkenaan memperoleh Penarafan Kelestarian INFRASTAR lima bintang yang dianugerahkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata, seiring tanggungjawab syarikat untuk mengendalikan Depoh Wadi Hana, Kompleks ICQ dan Stesen RTS di Bukit Chagar, keutamaannya kini bukan sekadar menyiapkan pembangunan infrastruktur tetapi juga memastikan kemudahan ini diurus secara cekap, berdaya harap dan mampan.
Menurutnya, kerjasama ini merupakan satu perkembangan penting dalam peranan MRT Corp, bukan sahaja sebagai pembangun infrastruktur bertaraf dunia malah dalam memastikan prestasi operasi dan nilai jangka panjang aset berkenaan terus terpelihara.
“Hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dengan TNB memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan projek rel kami. Kini, kami membawa hubungan tersebut ke tahap yang lebih strategik dengan mengintegrasikan kepakaran tenaga TNB dalam pengoperasian dan pengurusan kemudahan kritikal ini.
“Langkah ini membolehkan kami meneroka penyelesaian praktikal untuk meningkatkan kecekapan tenaga, memperkukuh daya tahan operasi dan memastikan komitmen kemampanan kami diterjemahkan kepada manfaat yang boleh diukur sepanjang tempoh operasi aset berkenaan,” katanya pada majlis pertukaran MoU tersebut sempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Kuala Lumpur pada Rabu yang disaksikan Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Sri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kerjasama ini mencerminkan kepentingan mengintegrasikan penyelesaian tenaga mampan dalam pembangunan dan pengoperasian infrastruktur kritikal, selaras dengan aspirasi NETR.
Ujar beliau, bekalan elektrik yang berdaya harap merupakan asas penting bagi memastikan kelancaran operasi infrastruktur pengangkutan awam.
Menerusi kerjasama ini, TNB berhasrat untuk meneroka penyelesaian tenaga bersama MRT Corp yang dapat meningkatkan kecekapan tenaga, memperkukuh daya harap bekalan elektrik serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di kemudahan yang bersesuaian.
“MOU ini menyediakan kerangka bagi kedua-dua organisasi untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih luas, khususnya dalam memanfaatkan penyelesaian tenaga bagi meningkatkan nilai dan kecekapan operasi infrastruktur.
“Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan melalui penyediaan tenaga dan infrastruktur yang berdaya harap, di samping menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon,” katanya.
MoU ini merangkumi tiga bidang kerjasama utama, bermula dengan penyelesaian tenaga solar yang melibatkan penerokaan peluang pembangunan dan pelaksanaan sistem tenaga boleh baharu di premis serta aset yang bersesuaian.
Ini termasuk penilaian inisiatif penjimatan tenaga bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan kos operasi, sekali gus menyokong pengurusan infrastruktur yang lebih cekap dan mampan dari segi alam sekitar.
Bidang kedua pula memberi tumpuan kepada pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti hijau, termasuk potensi penyediaan kemudahan pengecasan EV di premis MRT Corp yang terpilih.
Kedua-dua pihak akan meneroka bagaimana infrastruktur pengecasan ini dapat melengkapi kemudahan pengangkutan awam serta menggalakkan penggunaan pilihan mobiliti yang lebih mampan.
Bidang ketiga, melibatkan daya harap elektrik dan perkhidmatan penyelenggaraan, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang untuk meningkatkan keselamatan, keboleharapan dan daya tahan operasi sistem elektrik serta set janakuasa yang menyokong kemudahan infrastruktur rel kritikal.
Kerjasama ini turut melengkapi usaha berterusan TNB dalam memacu peralihan tenaga Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), khususnya menerusi pemodenan grid, integrasi tenaga boleh baharu dan penyelesaian tenaga yang lebih cekap.
Menerusi kerjasama ini juga, MRT Corp dan TNB berhasrat untuk meneroka penyelesaian yang menggabungkan pembangunan infrastruktur rel mampan dengan penggunaan tenaga yang berdaya harap dan cekap, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem pengangkutan yang lebih mampan di Malaysia.