Rumah tepi sungai jadi 'lubuk' jual air ketum

Iklan
Antara individu yang ditahan dalam Operasi Perdana AADK Selangor di sini pada Rabu.

SUNGAI BULOH – Sebuah rumah berhampiran sungai di sini dipercayai dijadikan lokasi penjualan daun dan air ketum, dengan urus niaga dilakukan melalui tingkap kecil yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati premis di atas tanah lot itu turut dipercayai digunakan untuk menjual ubat batuk selain memproses dan menjual air ketum.

Iklan
Iklan

Tanda harga, nombor telefon dan ko QR turut dipaparkan pada dinding bersebelahan tingkap berkenaan.

Kira-kira 300 kilogram daun ketum ditemukan disimpan di premis berkenaan untuk tujuan jualan.

Iklan

Daun berkenaan disimpan di dalam dua bilik yang dilengkapi pendingin hawa bagi mengelakkannya layu sebelum diproses atau dijual.

Zainudin menunjukkan air ketum yang dijumpai di rumah berkenaan.

Iklan

Seorang lelaki yang ditahan mendakwa bekalan daun ketum itu dibawa dari Kedah menggunakan kereta kira-kira sekali seminggu, dengan setiap penghantaran mencecah 500 kilogram bernilai sekitar RM5,000.

"Proses memasak air ketum dilakukan sehingga dua periuk sehari, bergantung kepada bekalan dan permintaan pelanggan.

"Setiap periuk mampu memuatkan kira-kira 20 kilogram daun ketum pada satu-satu masa," katanya.

Lelaki berusia 30-an itu mendakwa perniagaan berkenaan diusahakan oleh adiknya.

Lelaki itu antara 27 individu yang ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) peringkat Selangor di sini yang bermula pada jam 6 pagi Rabu.

Dalam operasi sama, seorang penjawat awam berusia 45 tahun yang ditahan dipercayai telah mengambil ketum sejak kira-kira lima tahun lalu.

Lelaki itu turut mengakui meminum air ketum bersama rakan-rakannya ketika berada di pejabat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, tiga penjawat awam turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, premis itu difahamkan beroperasi setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan dianggarkan menerima antara 30 hingga 50 pelanggan sehari.

"Nilai jualan ketum di lokasi itu dianggarkan antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari, dengan air ketum dijual pada harga RM10 bagi satu paket plastik kecil dan RM20 bagi botol atau pek berisi 1.5 liter.

"Daun ketum mentah turut dijual pada harga antara RM20 hingga RM40 sekilogram, manakala bekalan bahan mentah itu diperoleh dari Kedah pada harga RM12 sekilogram," katanya.

Mengulas lanjut, Zainudin berkata premis berkenaan bukan sahaja menjual ketum, malah turut menawarkan ubat batuk berdasarkan permintaan pelanggan, yang dipercayai digunakan untuk dicampurkan bersama air ketum.

“Bahan yang dirampas termasuk ketum, daun ketum dan air ketum akan diserahkan untuk siasatan lanjut dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

“Kesemua 27 lelaki berusia antara 19 hingga 61 tahun yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Petaling untuk proses dokumentasi,” katanya.

Beliau berkata siasatan AADK turut mendapati semakin ramai individu terlibat dalam penyalahgunaan ketum susulan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada Ogos 2025, sekali gus membolehkan agensi itu mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan bahan berkenaan.