Pembatalan PN: Konflik dalaman jejaskan keyakinan rakyat - Penganalisis

Iklan
Pembatalan pendaftaran PN susulan konflik dalaman gabungan itu berisiko menjejaskan keyakinan pengundi terhadap keupayaannya menawarkan alternatif pemerintahan yang stabil dan berwibawa - Penganalisis

KUALA LUMPUR - Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) susulan konflik dalaman gabungan itu berisiko menjejaskan keyakinan pengundi terhadap keupayaannya menawarkan alternatif pemerintahan yang stabil dan berwibawa, menurut penganalisis politik.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata perkembangan itu bukan sekadar membabitkan isu teknikal pendaftaran, sebaliknya mencerminkan cabaran lebih besar berkaitan krisis kepercayaan, persaingan kepimpinan dan kelemahan mekanisme penyelesaian konflik antara parti komponen.

Iklan
Iklan

Beliau berkata pengundi bukan sahaja menilai populariti pemimpin atau retorik politik, tetapi turut mengambil kira kemampuan sesebuah gabungan mengurus perbezaan pendapat, mengekalkan kestabilan serta menunjukkan kesediaan mentadbir negara.

"Apabila sebuah gabungan pembangkang gagal menyelesaikan pertikaian dalamannya sehingga membawa kepada campur tangan pihak berkuasa pendaftaran, persoalan mungkin timbul dalam kalangan pengundi ialah sejauh mana gabungan tersebut mampu mengurus pentadbiran negara yang jauh lebih kompleks.

Iklan

"Sebahagian pengundi tegar mungkin melihat perkembangan ini sebagai cabaran perlu dihadapi bersama. Oleh itu, kesannya terhadap sokongan rakyat bergantung kepada bagaimana kepimpinan PN mengurus krisis ini, bukannya keputusan RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) semata-mata,” katanya kepada Bernama.

Semalam, RoS membatalkan pendaftaran PN mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis bertarikh 22 Sept lepas.

Iklan

Keputusan itu menyusul rentetan kemelut dalaman PN selepas Bersatu mengemukakan aduan rasmi kepada RoS pada 11 Ogos lepas, antaranya berhubung dakwaan parti itu dinafikan hak untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lepas.

Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata aduan parti berkenaan terhadap kepimpinan PN diterajui PAS berhubung tindakan mengetepikan hak Bersatu dalam mesyuarat gabungan itu adalah berasas kerana melanggar perlembagaan PN serta prinsip tadbir urus yang baik.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, pembatalan pendaftaran PN juga berpotensi menjejaskan persepsi terhadap PAS, khususnya dari aspek integriti kepimpinan, pematuhan perlembagaan dan keupayaan parti itu mengurus sebuah gabungan politik.

Beliau berkata aduan Bersatu yang membawa kepada tindakan RoS turut menimbulkan persoalan mengenai amalan demokrasi dalaman, terutama dakwaan penafian hak parti komponen dalam proses membuat keputusan, namun dakwaan bahawa PAS bertanggungjawab sepenuhnya masih dipertikaikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesan terhadap persepsi pengundi mungkin berbeza mengikut kelompok, dengan penyokong tegar PAS berkemungkinan kekal setia berdasarkan identiti dan ideologi parti, manakala pengundi atas pagar lebih cenderung mempersoalkan kredibiliti tadbir urus kepimpinannya.

Senada dengan itu, Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berpandangan krisis melanda PN berisiko menjejaskan keyakinan pengundi, khususnya mereka yang sebelum ini menyokong gabungan berkenaan atas dasar mahukan sebuah blok pembangkang yang bersatu dan mampu menawarkan kestabilan politik.

Beliau berkata walaupun penyokong tegar PAS dan Bersatu mungkin kekal setia kepada parti masing-masing, pengundi yang mengutamakan kestabilan serta kemampuan bekerjasama berkemungkinan mempersoalkan keupayaan kedua-dua parti membentuk kerajaan yang berkesan.

"Krisis PN berisiko menjejaskan keyakinan terhadap kemampuan pembangkang membentuk kerajaan yang stabil, walaupun sokongan terhadap parti komponennya tidak semestinya merosot secara langsung.

"Ini perbezaan penting antara kesetiaan kepada parti dengan keyakinan terhadap kemampuan sebuah gabungan untuk memerintah,” kata Pensyarah Kanan Sains Politik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.

Mujibu berkata, krisis itu turut berpotensi menjejaskan keberkesanan pembangkang dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang sekiranya pertikaian dalaman berpanjangan sehingga menjejaskan penyelarasan pendirian serta tumpuan terhadap isu rakyat.

Beliau berkata, pembangkang perlu membuktikan bukan sahaja keupayaan mengkritik kerajaan, tetapi juga kemampuan menawarkan kepimpinan, disiplin organisasi dan agenda bersama yang meyakinkan pengundi. - Bernama