KUALA LUMPUR - Radium Development Berhad (Radium) mencatatkan kadar tempahan awal sebanyak 40 peratus bagi projek kediaman Radium Evara bernilai RM506 juta di Kepong.
Projek yang merangkumi 797 unit kediaman dengan harga purata RM450,000 seunit, menyasarkan pembeli yang mengutamakan keselesaan, kemudahan akses dan kesesuaian kediaman untuk jangka panjang.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, pembangunan berteraskan falsafah 'Building Good' itu bukan sekadar menawarkan kediaman berkualiti, malah menyumbang kepada pertumbuhan Kepong menerusi persekitaran yang menggalakkan hubungan sosial dan pembentukan komuniti.
"Visi kami untuk Radium Evara melangkaui penyediaan rumah berkualiti.
"Kami mahu menyumbang secara positif kepada perkembangan Kepong dengan mewujudkan pembangunan yang membolehkan penduduk berasa terhubung, bukan sahaja dengan persekitaran mereka, malah antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Radium Evara dibangunkan di atas tanah seluas 5.314 ekar dengan menawarkan kediaman tiga dan empat bilik tidur berkeluasan antara 800 hingga 1,250 kaki persegi.
Projek berkenaan menyasarkan pembeli yang ingin memiliki kediaman sendiri termasuk keluarga yang memerlukan ruang lebih besar serta isi rumah berbilang generasi dan pendekatan itu berbeza daripada sesetengah pembangunan baharu yang menawarkan susun atur lebih kompak.
Radium Evara mempunyai akses ke beberapa laluan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Selayang-Kepong.
Kedudukannya turut berhampiran stesen KTM dan MRT, selain kemudahan pusat beli-belah, sekolah, fasiliti kesihatan serta Taman Metropolitan Kepong menjadi antara elemen yang diketengahkan bagi memenuhi keperluan pembeli yang mahu mengimbangi urusan harian, akses pengangkutan dan gaya hidup aktif.
Bagi menyokong konsep kediaman berorientasikan keluarga, Radium Evara menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, gimnasium, gelanggang bola keranjang, dek yoga, sauna, dewan serbaguna serta kawasan permainan kanak-kanak.
Selain itu, Radium Evara menerima pensijilan sementara GreenRE Silver sebagai pengiktirafan terhadap usaha menerapkan elemen kelestarian dan persekitaran kediaman lebih sihat.
Ketua Pegawai Pemasaran Radium, Kenneth Khoo berkata, pembeli rumah kini semakin bijak menilai keupayaan sesebuah kediaman memenuhi keperluan kehidupan mereka dalam jangka panjang, selain faktor prestij lokasi.
"Pembeli hari ini melihat lebih daripada sekadar prestij lokasi. Mereka mahukan rumah yang terus memenuhi keperluan apabila kehidupan berubah, sama ada ketika membina keluarga, bekerja secara fleksibel atau merancang masa depan.
"Sambutan terhadap Radium Evara memberi keyakinan kepada kami bahawa penekanan terhadap keselesaan dan kebolehdiaman harian memenuhi keperluan pembeli yang ingin mendiami sendiri rumah mereka," katanya.
Projek Radium Evara dijadualkan siap pada 2030.