PORT DICKSON – Menjadi mimpi ngeri buat sepasang suami isteri apabila penyewa yang disangka baik rupa-rupanya menjadikan rumah mereka di Taman Sengkang, Pasir Panjang di sini sebagai pusat perlombongan bitcoin haram.
Perkara itu hanya disedari Noor Shahida Mohd Zain, 33, dan suaminya, Norisam Ahmad Saidi, 34, selepas sembilan bulan rumah mereka disewa individu berkenaan.
Menurut Noor Shahida, dia mula tergerak hati untuk memeriksa keadaan rumahnya selepas terbaca perkongsian seorang individu mengenai mangsa yang berdepan tuntutan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kediaman mereka dijadikan pusat perlombongan bitcoin.
“Kami kemudian buat keputusan untuk pergi tengok rumah dan memaklumkan perkara itu kepada penyewa, tapi dia beri alasan berada di Sabah,” katanya dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Dia yang bekerja swasta berkata, meskipun penyewa mendakwa berada di luar kawasan, dia dan suami nekad pergi ke rumah berkenaan, namun membuat laporan polis terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Noor Shahida berkata, dia memberikan alamat rumah dan salinan kad pengenalan penyewa kepada pihak polis, namun terkejut apabila dimaklumkan bahawa maklumat kad pengenalan itu tidak wujud dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Lebih mengejutkan apabila polis beritahu terdapat laporan kes perlombongan bitcoin berhampiran rumah kami, kira-kira seminggu sebelum itu.
Ujarnya, sebaik tiba di rumah itu, mereka mendapati terdapat beberapa kunci mangga tambahan dipasang pada pintu, selain kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian hadapan rumah.
Menurutnya lagi, polis terpaksa memecahkan kunci berkenaan dan sebaik naik di tingkat atas, didapati terdapat peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perlombongan bitcoin.
“Saya tak tahu sejak bila penyewa menjalankan kegiatan ini. Kami memang tak pernah syak apa-apa dan anggap dia penyewa 'dari syurga' kerana tak pernah timbulkan masalah,” katanya.
Ini kerana ujarnya, penyewa terbabit tidak pernah lewat membayar sewa bulanan sebanyak RM1,200, manakala bil elektrik rumah berkenaan hanya sekitar RM10 sebulan.
Bagaimanapun katanya, bayaran sewa hanya dibuat melalui mesin deposit tunai dan mereka hanya pernah bertemu sekali sahaja, iaitu ketika kali pertama melihat rumah.
“Ketika dia datang tengok rumah pun, kami memang tak syak apa-apa dan selepas bersetuju untuk menyewa, dia terus membayar wang deposit secara tunai,” katanya.
Tambahnya, dia kini bimbang sekiranya terpaksa menanggung tuntutan bil elektrik daripada TNB susulan kegiatan yang dipercayai dilakukan penyewa tanpa pengetahuannya itu.
"Saya tak pernah tahu apa itu bitcoin. Bila dah jadi macam ini, saya buat carian di internet dan rupa-rupanya ramai yang dah jadi mangsa," katanya.