Putera Harry mahu berdamai dengan kerabat diraja Britain

Iklan
Harry (kanan) juga mahu memulihkan hubungan dengan abangnya, Putera William. Foto Agensi

LONDON - Putera Harry menyatakan hasrat untuk berdamai dengan bapanya, Raja Charles III dan kerabat diraja Britain, sekali gus memulihkan hubungan yang renggang sejak beliau berpindah ke Amerika Syarikat (AS), enam tahun lalu.

Niat itu disuarakan beliau yang kembali menetap di London bersama Meghan Markle dan dua anak mereka ketika wawancara bersama majalah GQ, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Memang ada beberapa perselisihan yang berlaku dan perlu dihadapi. Namun, saya berharap semua pihak dapat melupakan persengketaan itu dan meneruskan kehidupan.

"Dalam keadaan dunia berdepan pelbagai cabaran ketika ini, saya percaya ada perkara silam yang ingin kita lupakan termasuk saya, keluarga saya dan sebahagian media Britain agar kita dapat melangkah ke hadapan dan bersama-sama mengutamakan kepentingan yang lebih besar," ujarnya.

Iklan

Harry, 42, turut mengimbas kembali detik hitam sewaktu kehilangan ibunya, Puteri Diana ketika berusia 12 tahun selain berkongsi perjuangannya dalam menghadapi masalah kesihatan mental.

"Salah satu penyesalan terbesar saya ialah panggilan telefon terakhir bersama ibu. Kalaulah saya tahu itu perbualan terakhir kami, sudah tentu ia akan berbeza,” kata Duke of Sussex itu yang menyatakan rasa bersalah itu terus menghantuinya dan menjadi beban emosi yang berat untuk ditanggung.

Iklan

Putera bongsu pemerintah Britain itu turut menyifatkan peluang menghantar anak-anaknya bersekolah di Britain sebagai antara perkara paling bermakna selepas kembali menetap di negara itu. - AFP