PETALING JAYA – Kucing berwarna oren yang pernah tular kerana gemar ‘mencuri’ selipar jiran dilaporkan hilang selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah.
Pemiliknya, Noraini Darus, merayu orang ramai membantu mengesan kucing kesayangannya yang dikenali sebagai Yeyen Selipar itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, Noraini memaklumkan bahawa berdasarkan semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), Yeyen kali terakhir dilihat berada di sekitar kawasan perumahan kejiranannya.
Noraini turut merayu kepada sesiapa yang mengenali Yeyen atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan kucing berkenaan supaya menghubungi keluarganya.
“Mak nak mintak tolong dengan semua yang mengenali kami tolong bantu cari Yeyen mak…dah berapa hari dah dia tak balik rumah.
“Mak dan keluarga merayu kalau ada sesiapa nampak, terjumpa atau terambil Yeyen, tolong hubungi kami sekeluarga,” katanya menerusi media sosial.
Kisah Yeyen Selipar sebelum ini pernah mendapat perhatian ramai.
Aksinya menjadi bualan penduduk di sebuah taman perumahan di Seksyen 29, Shah Alam kerana sering mengambil selipar milik jiran-jirannya.