PARIS - Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu berikrar akan mempertingkat kawalan keselamatan dengan mengerahkan pasukan keselamatan berskala besar bagi menghadapi demonstrasi baharu yang dirancang pada hujung minggu ini.
Langkah itu dibuat susulan kritikan yang meningkat di Parlimen terhadap kelemahan pihak berkuasa menangani rusuhan ganas yang disifatkan terburuk pernah melanda negara ekonomi kedua terbesar zon euro tersebut.
"Penempatan pasukan polis akan dilakukan secara meluas," ujarnya pada Selasa.
Lecornu mendakwa kumpulan radikal ultrakiri mendalangi rancangan pemberontakan yang mencetuskan rusuhan berkenaan di tengah-tengah demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup yang diadakan di seluruh negara.
Pemerintah turut mengumumkan kemudahan pinjaman tanpa faedah bermula Jumaat ini dan beberapa langkah bantuan lain bagi membantu ribuan pemilik premis perniagaan yang mengalami kerosakan atau menjadi sasaran rompakan.
Menteri Kehakiman, Gerald Darmanin berkata, hampir 150 individu telah dipenjarakan manakala lebih 800 lagi telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah.
Negara Eropah lain turut menyaksikan demonstrasi susulan kenaikan harga dengan pertempuran berskala kecil tercetus di Milan dan Belgium sepanjang akhir minggu lalu.
Bagi mengelakkan kejadian keganasan berulang, pemerintah Itali mengumumkan penempatan 500 anggota tentera di Milan bagi membantu pihak polis mengawal keadaan sehingga akhir tahun ini. - Agensi