KUALA LUMPUR - Sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai pengkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang yang menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan warga Singapura dibongkar pada Selasa.
Op Noda-Rentas Sempadan itu digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Singapore Police Force (SPF) di beberapa premis kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, serbuan berjaya menahan sembilan individu membabitkan seorang tempatan dan lapan warga asing berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun.
Menurutnya, tangkapan membabitkan lima lelaki dan empat wanita itu dipercayai ahli sindiket persundalan yang sama dan mempunyai rekod dikehendaki (wanted) oleh SPF di bawah kesalahan Section 146A (1)(b) Women's Charter 1961 dan Section 109 Of Penal Code.
"Semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas, warga asing yang ditahan merupakan tujuh warga China dan seorang Singapura.
"Seorang warga Singapura dan empat China didapati telah tinggal lebih masa di Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kesemua sembilan tangkapan akan diserahkan kepada pihak SPF melalui Bahagian D12 (NCB/Interpol) JSJ Bukit Aman selepas pengesahan identiti di bawah Seksyen 5(3) Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 di hadapan majistret.
Dedah beliau, modus operandi sindiket dipercayai mula aktif sejak tahun 2024 di Singapura dan dikesan menjadikan Malaysia sebagai pengkalan operasi bagi menguruskan laman sesawang yang menawarkan khidmat pelacur kepada pelanggan di Singapura.
"Malaysia dijadikan sebagai hab operasi bagi mengelakkan serta menyukarkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan pencegahan ke atas kumpulan sindiket," ujarnya.
Dalam operasi sama, pasukan serbuan turut menahan 21 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun dipercayai terlibat mempromosi dan menguruskan khidmat persundalan dalam talian.
Katanya, warga asing terdiri daripada 17 China, tiga Vietnam dan seorang Laos disiasat di bawah Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.
"Kejayaan operasi ini membuktikan keberkesanan sinergi strategik di antara Polis Diraja Malaysia dan SPF melalui perkongsian maklumat risikan," ujarnya.