'Parti itu sentiasa menikam belakang' - Takiyuddin dakwa Bersatu punca pendaftaran PN dibatalkan

Iklan
Takiyudin menunjukkan surat dari RoS yang menyatakan pendaftaran PN batal.

KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi punca pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), dakwa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau mendakwa Bersatu bertindak menikam belakang rakan gabungan sendiri apabila mengadu kepada RoS berhubung dakwaan PN melanggar perlembagaannya kerana tidak memanggil parti itu menghadiri mesyuarat pada 16 Julai lalu.

Iklan
Iklan

“Parti itu sentiasa menikam belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Jelajah Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian di Pasir Tumboh di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Bersatu mahu bertanding sebanyak mungkin kerusi menggunakan logo PN dan permintaan itu diberikan, namun semua kerusi yang ditandingi parti berkenaan tewas.

Katanya, menjelang PRN Negeri Sembilan pula, perbincangan mengenai pembahagian kerusi termasuk untuk Bersatu sepatutnya diadakan selepas Barisan Nasional (BN) memberikan 11 kerusi kepada PN.

Iklan

Beliau mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mengumumkan sehari sebelum mesyuarat berkenaan bahawa partinya akan bertanding di 24 kerusi menggunakan logo Bersatu, bukannya PN.

“Jadi, bagaimana mungkin kami masih memanggil mereka untuk mesyuarat sedangkan beliau sudah memaklumkan untuk bertanding tanpa menggunakan logo PN,” katanya.

Antara alasan pembatalan PN yang dikemukakan dalam surat daripada RoS.

Takiyuddin berkata, susulan perkembangan itu, pimpinan Bersatu membuat aduan kepada RoS dengan mendakwa PN melanggar perlembagaan gabungan berkenaan kerana menafikan hak parti itu menghadiri mesyuarat tertinggi.

Beliau berkata, sekitar jam 8 pagi pada Selasa, pihaknya menerima notis perintah yang memaklumkan pendaftaran PN dibatalkan.

Menurut Takiyuddin, surat daripada RoS itu menyatakan pembatalan dibuat atas alasan PN melanggar Fasal 7.1 Perlembagaan PN kerana menafikan hak Bersatu untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan tindakan PN dengan menjelaskan Bersatu didakwa sedang berdepan masalah ketika itu, sekali gus menjadi alasan parti berkenaan tidak dipanggil menghadiri mesyuarat terbabit.

Sebelum ini, Bersatu menyalahkan kepimpinan PN yang diterajui Pas berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu dengan mendakwa hak parti berkenaan dinafikan apabila tidak dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mengulas dakwaan itu, Takiyuddin berkata, Bersatu berhak mengeluarkan kenyataan sedemikian, namun mempersoalkan tindakan parti itu membuat aduan kepada RoS.

“Yang dibatalkan oleh RoS ini kerana aduan dia. Yang dia kata kita buat salah tak panggil mereka mesyuarat, sedangkan itu tidak salah.

“Itu amalan dalam Perikatan Nasional yang diamalkan sebelum ini, walau babit parti lain. Apa istimewanya Bersatu? Dia tak boleh kena macam parti lain,” katanya.

Beliau berkata, jika Pas mempunyai masalah, PN juga boleh meminta parti itu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum dipanggil menghadiri mesyuarat.

“Kalau kata Pas ada masalah, PN akan bagi kata dua kepada Pas, selesaikan dulu masalah baru dipanggil. Begitulah. Parti Warisan samalah. Yang dah kena MIPP, kemudian Bersatu,” katanya.