APABILA bilionair Hashim Djojohadikusuma menyebutkan akan menanam sawit di 'hutan rosak' seluas 12.7 juta hektar, terbeliak mata kita semua.
Apakah makna hutan rosak? Hutan yang terbakar? Bagaimanakah boleh terbakar? Apakah memang sengaja dibakar untuk kemudiannya dijadikan ladang sawit? Banyaklah teori konspirasi bermain dalam otak kita.
Hashim ialah adik Presiden Prabowo Subianto. Jadi kenyataannya tentulah menimbulkan pelbagai persoalan. Jiran-jiran Indonesia menderita musibah jerebu berbulan-bulan lamanya tetapi Hashim bercakap tentang menanam sawit di tanah yang terbakar.
Abangnya pula dituduh ambil sikap tidak peduli penderitaan rakyatnya sendiri dan jiran-jirannya.
Banyak pihak mulai menanyakan motif sebenar Hashim. Memang kita semua patut mencurigai motif di sebalik hutan yang terbakar. Memang syarikat perladangan akan mengambil kesempatan daripada keadaan ini.
Tidak hairanlah Singapura akan mendakwa beberapa buah syarikat perladangan Indonesia yang dikatakan bertanggungjawab menyebabkan jerebu.
Awang memang kesal dengan banyak syarikat perladangan. Kononnya nak memastikan alam sekitar lestari. Apakah maknanya memusnahkan hutan untuk tanaman sawit tetapi meninggalkan baki 20 hektar untuk sanctuary monyet?