JAKARTA – Dana yang sepatutnya digunakan untuk membantu mangsa bencana di Indonesia didakwa menjadi sasaran penyelewengan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pengawasan terhadap peruntukan kecemasan negara itu.
Pakar berpandangan, masalah berulang itu sebahagiannya berpunca daripada tanggapan bahawa bencana boleh dijadikan peluang mengaut keuntungan melalui perolehan barangan dan perkhidmatan.
Sejarah pengurusan bencana di Indonesia tidak terlepas daripada pelbagai kes rasuah termasuk ketika tsunami melanda Aceh dan Nias, bencana gempa dan tsunami di Palu serta Lombok.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK), Laode M. Syarif yang kini mengajar di Universiti Hasanuddin Makassar berkata, kes rasuah dalam pengurusan bencana menunjukkan corak yang berulang.
“Perkara ini berlaku kerana penggunaan kaedah pelantikan terus bagi perolehan barangan atau perkhidmatan, selain pengawasan yang tidak berfungsi,” ujarnya.
Jelasnya, kesan rasuah dana bencana bukan kecil kerana ia boleh menjejaskan proses bantuan kepada masyarakat yang terjejas.
Sejarah panjang rasuah bencana
Selepas tsunami melanda Aceh pada 2004, Indonesian Corruption Watch (ICW) mendapati berlaku penyelewengan bantuan sara hidup yang diperuntukkan kepada mangsa.
Perbuatan itu didakwa melibatkan pelbagai peringkat pentadbiran, daripada ketua desa, jabatan berkaitan dan pegawai daerah hingga bupati. Jumlah dana yang diselewengkan dianggarkan 512.9 juta rupiah (RM116,070).
Di Palu, Sulawesi Tengah, kes rasuah turut dikesan selepas bencana gempa dan tsunami pada 2018.
KPK mendapati Ketua Unit Kerja Sistem Penyediaan Air Minum (SPAM) Kecemasan, Teuku Moch Nazar menerima rasuah daripada dua syarikat iaitu PT Wijaya Kusuma Emindo dan PT Tashida Perkasa Sejahtera berkaitan kontrak pembinaan rangkaian paip air minuman untuk mangsa bencana. Nazar didakwa menerima kira-kira 2.9 bilion rupiah (RM656,273).
Kes serupa turut berlaku di Mataram, Nusa Tenggara Barat, apabila anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) daripada Parti Golkar, Muhir, ditetapkan sebagai suspek dalam kes rasuah dana pemulihan sekolah yang rosak akibat gempa bumi.
Di Kabupaten Siak, Riau, bekas Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), Kaharuddin dikenakan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan kerana rasuah dana pengurusan bencana pada 2022.
Di Kabupaten Bogor pula, bekas pegawai BPBD, Sumardi dituntut penjara 15 tahun kerana didakwa menyeleweng dana bantuan bencana alam berjumlah 1.7 bilion rupiah (RM384,680).
Penyelewengan bukan sahaja berlaku di peringkat daerah malah turut membabitkan pengurusan bantuan pada peringkat nasional.
Pada 2020, KPK menahan bekas Menteri Sosial yang juga ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Juliari Batubara, berhubung rasuah daripada pembekal bantuan sosial untuk menangani pandemik Covid-19.
Pengiraan KPK menunjukkan kes rasuah bantuan sosial itu mengakibatkan kerugian kewangan negara sebanyak 127.5 bilion rupiah (RM28.85 juta).
Laode mengenal pasti dua faktor utama yang menyebabkan rasuah dalam pengurusan bencana terus berulang. Pertama, penggunaan kaedah pelantikan terus tanpa proses tender yang adil, telus dan bertanggungjawab. Faktor kedua ialah pengawasan yang lemah terhadap penggunaan dana bencana. - Agensi