Tunku Nadzaruddin, Empat Undang termasuk dipertikai dakwa krisis selesai selepas MB tandatangan prolakmasi

Iklan
Ketika titah itu dikeluarkan, Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tidak boleh menjalankan fungsi pemerintahan.

SEREMBAN – Sebarang urusan berkaitan fungsi dan kuasa pemerintahan Kerajaan Negeri Sembilan selepas 15 September 2026 hendaklah dirujuk terus kepada Raja Pemerintah Bersama, iaitu Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang sah mengikut Perkara 28 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Menerusi kenyataan bersama Tunku Nazaruddin Tuanku Ja'afar, Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan dan Tunku Besar Tampin, mereka mendakwa, berdasarkan prinsip undang-undang perlembagaan dan pentadbiran, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan baginda. 

Iklan
Iklan

Ini kerana kata mereka, proklamasi penurunan takhta baginda telah pun disempurnakan.

“Hormatilah pentadbiran kerajaan negeri yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat,” menurut kenyataan itu pada Selasa 

Iklan

Mereka turut menegaskan bahawa titah Tuanku Muhriz yang membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), diikuti pewartaan mengenainya adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Ujar mereka, ketika titah itu dikeluarkan, Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan tidak boleh menjalankan fungsi pemerintahan.

Iklan

“Oleh yang demikian, kami dengan ini mengurniakan limpah perkenan kepada Datuk Ismail Lasim selaku Menteri Besar Negeri Sembilan dan barisan Exco kerajaan negeri, untuk terus mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kami juga mensabdakan agar anggota pentadbiran dan pelaksana kerajaan negeri memberikan kerjasama penuh serta setia dan taat kepada kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut meminta Menteri Besar menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi tanpa takut terhadap tekanan daripada mana-mana pihak.

Mereka menegaskan bahawa sebarang isu berbangkit berkaitan adat dan takhta yang tertakluk di bawah Bahagian Pertama UUTKNS 1959 perlu diuruskan oleh mereka selaku Raja Pemerintah Negeri Sembilan.

Justeru, mereka berkata, pentadbiran kerajaan negeri hendaklah berjalan seperti biasa dan tiada lagi keperluan untuk Menteri Besar menghadap Tuanku Muhriz bagi urusan pentadbiran kerajaan negeri kerana ketetapan adat, UUTKNS 1959 dan pendirian kerajaan negeri menurut mereka adalah jelas.

“Kami menegaskan bahawa kedudukan takhta Yang di-Pertuan Besar adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat dan UUTKNS 1959.

“Hak ini juga dilindungi oleh Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin bahawa pertikaian tentang hak menaiki takhta sesebuah negeri hendaklah diputuskan hanya oleh 'pihak berkuasa' dan mengikut cara yang ditetapkan oleh perlembagaan negeri itu,” menurut kenyataan tersebut.

Mereka menjelaskan bahawa di Negeri Sembilan, pihak berkuasa berkenaan ialah Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS 1959, manakala kerajaan Persekutuan, jabatan serta agensinya tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara itu.

Sehubungan itu, mereka meminta semua pihak menghormati kedaulatan Kerajaan Negeri Sembilan serta keluhuran adat dan UUTKNS 1959.

“Bahawasanya, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan hendaklah taat, patuh dan akur terhadap ketetapan ini serta menjalankan kuasa selaras dengan Perkara 35 UUTKNS 1959.

“Maka, kami selaku Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang sah menurut Perkara 28 UUTKNS 1959 bersabda agar Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri menurut arahan pentadbiran Menteri Besar serta akur dengan ketetapan kerajaan negeri,”kata mereka.