SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan bahawa slaid mengandungi cadangan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) pernah dibentangkan dalam kongres parti tersebut di Melaka pada Ogos lalu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, imej yang dikongsikan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerusi akaun media sosialnya tidak pernah dibentangkan dalam kongres mahupun konvensyen dan tidak disediakan oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan.
“Sekiranya slaid tersebut benar-benar pernah dibentangkan seperti yang didakwa, sudah tentu terdapat rekod, rakaman atau laporan media yang boleh dijadikan bukti.
“Berdasarkan semakan kami, slaid tersebut pertama kali dimuat naik menerusi akaun media sosial menggunakan nama Arman Ashaari pada 24 September lalu di laman Facebook,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, Mukhriz mendakwa pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) merupakan antara syor yang dibentangkan dalam Konvensyen PKR pada Ogos lalu.
Mukhriz berkata, syor itu dikemukakan menerusi pembentangan inisiatif strategik dalam konvensyen parti berkenaan.
Dalam pada itu, Fuziah kesal terhadap tindakan Mukhriz yang menyebarkan slaid berkenaan tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Jelas beliau, penggunaan slaid untuk mengaitkan PKR dengan keputusan RoS terhadap PN sebagai fitnah terhadap parti berkenaan.
“Mukhriz bukan orang baharu dalam politik. Amat mendukacitakan apabila seorang pemimpin politik berpengalaman seperti beliau menyebarkan sesuatu bahan tanpa usul periksa terlebih dahulu.
“Jika beliau mempunyai bukti sahih, kemukakan rekod pembentangan asal,” katanya.
Mengulas lanjut, Fuziah turut menegaskan PKR tidak terlibat dalam aduan yang membawa kepada tindakan RoS terhadap PN kerana isu tersebut membabitkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri.
Justeru, beliau menuntut Mukhriz menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada PKR atas penyebaran bahan yang mengaitkan parti berkenaan berhubung keputusan RoS terhadap PN.