PELABUHAN KLANG - Sindiket penyeludupan migran dikesan menggunakan TikTok dan platform media sosial lain untuk mempromosikan perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) ke Malaysia menerusi laluan laut tidak sah.
Bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa, sindiket terbabit menggunakan akaun sementara sebelum menutupnya dan membuka akaun baharu selepas memperoleh pelanggan atau apabila akaun berkenaan digunakan untuk tempoh tertentu.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, taktik itu antara modus operandi yang dikenal pasti pihaknya dalam memantau kegiatan penyeludupan migran di perairan negeri ini.
Menurutnya, sindiket sentiasa mengubah kaedah promosi bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.
"Mereka menggunakan TikTok dan platform lain untuk mempromosikan perkhidmatan, akaun yang digunakan biasanya bersifat sementara.
"Apabila mendapat pelanggan atau selepas sesuatu tempoh, mereka akan menutup akaun tersebut dan membuka akaun baharu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor, Pelabuhan Klang di sini pada Selasa.
Beliau berkata, kegiatan penyeludupan migran itu turut membabitkan rangkaian sindiket yang menguruskan perjalanan dari negara asal sehingga ketibaan di Malaysia.
Menurutnya, terdapat pihak yang menunggu ketibaan migran berkenaan dan bersedia menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan sindiket.
Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci terhadap rangkaian di bahagian darat masih belum dijalankan bagi kes terbaharu yang ditumpaskan pihaknya.
"Kita belum menyiasat secara terperinci sehingga ke rangkaian di bahagian darat, tetapi kebiasaannya memang terdapat rangkaian sindiket yang menguruskan pengangkutan dan pergerakan mereka,” katanya.
Dalam kes terbaharu, Maritim Malaysia Selangor menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang membawa 57 warga Indonesia di perairan Tanjung Karang kira-kira jam 12 tengah malam Selasa.
Tangkapan menerusi Op Ehsan, Op Tiris dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026 itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat risikan kira-kira jam 11 malam Isnin.
Pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seorang tekong, dua awak-awak dan 54 penumpang, terdiri daripada 31 lelaki serta 23 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun.
Siasatan awal mendapati setiap individu dipercayai membayar antara RM1,300 hingga RM1,500 bagi perjalanan berkenaan.
Abdul Muhaimin berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan sindiket dan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran melalui perairan Selangor.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan di laut penting untuk memutuskan rangkaian penyeludupan sebelum migran berkenaan dibawa ke darat.
"Apabila kita berjaya memintas mereka di laut, pergerakan seterusnya di bahagian darat dapat dihalang daripada berlaku,” katanya.