SEPANG - [DIKEMAS KINI] “Doktor memaklumkan saluran pernafasan anak saya dipercayai tersumbat akibat makanan, sama ada pisang atau ayam, namun punca sebenar belum dapat dipastikan.”
Itu reaksi bapa kepada Damiya Nur Mikayla, 7, murid perempuan yang meninggal dunia selepas dipercayai mengalami sesak nafas di sebuah sekolah di sini, pada Isnin.
Mior Shahrizal Mior Zakaria, 48, berkata, beliau bergegas ke sekolah selepas dimaklumkan anaknya mengalami masalah pernafasan.
Menurutnya, sebaik tiba di sekolah, anaknya ditemui terbaring di koridor tingkat dua dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, beliau cuba memberikan bantuan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR), namun anaknya tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
"Lebih kurang 15 minit kemudian, ambulans tiba. Ketika itu, keadaan anak saya sudah tidak menunjukkan sebarang tindak balas,” katanya pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang murid perempuan dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika berada di dalam kelas di sebuah sekolah di sini sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 malam, Isnin.
Beliau berkata, mangsa yang berusia tujuh tahun itu bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelas beliau, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan,
Mior Shahrizal berkata, beliau berhenti kerja pada awal Januari lalu bagi memberi tumpuan kepada urusan persekolahan anaknya, termasuk menghantar dan mengambilnya setiap hari.
Katanya, anaknya bersekolah agama pada sesi pagi sebelum menghadiri sesi persekolahan kebangsaan pada sebelah petang.
Menurutnya, anak perempuannya yang disifatkan sangat aktif turut menunjukkan tingkah laku berbeza pada hari sebelum kejadian.
"Dia juga memakai pakaian sekolah dan tudung sendiri tanpa meminta bantuan saya seperti kebiasaannya," katanya.
Tambahnya, anak perempuan itu sangat rapat dengannya dan sering berkongsi cerita serta mengadu kepadanya apabila berdepan sebarang masalah.
Mior Shahrizal berkata, beliau menerima ketentuan itu dengan hati yang reda meskipun kehilangan anak yang amat disayanginya.