KUALA LUMPUR - Seorang bekas wartawan mengesahkan dirinya akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Rabu.
Ini bagi membantu siasatan berkenaan dakwaan kes pengedaran dadah berhampiran balai terbabit pada tahun 2016 yang dikongsikannya dan tular menerusi sebuah program audio siar (podcast).
Azrul Affandi Sobry berkata, ini adalah prosedur biasa pihak polis melaksanakan siasatan dan dirinya diminta hadir pada jam 12 tengah hari.
Jelasnya, masyarakat usah membuat kenyataan berkaitan perkara ini yang berbaur penghinaan kepada pihak berkuasa.
Katanya, apabila ada perkara berbangkit, sudah pasti pihak polis akan memanggil untuk diambil keterangan.
"Saya nasihatkan orang ramai, ini normal prosedur (polis). Terima kasih pada masyarakat yang prihatin kepada saya.
"Apa pun berpada-pada (membuat komen). Usah sampai hina, kecam pihak polis," ujarnya.
Sebelum ini, video audio siar berdurasi dua minit 30 saat berkaitan isu tersebut dimuat naik menerusi satu akaun TikTok dan tular Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, video berkenaan memaparkan dakwaan mengenai kes pengedaran dadah berhampiran sebuah balai polis di Sentul, sekali gus mendorong polis menjalankan semakan.
Hasil semakan mendapati, kejadian yang dibangkitkan dalam 'podcast' berkenaan berlaku pada 12 Julai 2016 dan tiga laporan polis berkaitan kejadian diterima ketika itu.
Kata Fadil, semakan lanjut mendapati, kandungan podcast itu adalah penceritaan semula pengalaman seorang tetamu dalam bidang kewartawanan yang berlaku pada tahun berkenaan.