SEREMBAN - Polis merakam keterangan 18 individu bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Nilai, Khamis lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
"Suspek yang juga suami mangsa berusia lingkungan 30-an masih direman hingga 22 Oktober, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Semakan turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai 16 rekod lampau berkait jenayah dan dadah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Alzafny berkata, bedah siasat mendapati, punca kematian wanita tersebut akibat tekanan pada bahagian leher selain pemeriksaan turut menemukan tiga kesan tikaman menggunakan senjata tajam, masing-masing dua di bahagian perut dan satu di pipi kanan.
Wanita berusia 30-an itu ditemukan maut selepas disyaki ditikam suaminya di kuarters itu, dipercayai akibat perselisihan faham.
Polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 9.30 malam selepas suami mangsa menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor memaklumkan kematian itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suami
Polis sahkan pegawai AKPS maut dipercayai dibunuh suami
Pegawai kerajaan mati dipercayai dibunuh suami dalam proses cerai - Abang mangsa
Perselisihan rumah tangga dipercayai punca pegawai AKPS maut ditikam suami - Polis
Pegawai AKPS maut: Suami serah diri ke balai polis selepas tikam isteri, pisau dirampas
Pegawai AKPS maut: Suspek sempat telefon abang ipar beritahu isterinya sudah tiada