KUALA TERENGGANU - Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dilihat sebagai satu tindakan luar biasa dan bermotifkan ketakutan pihak tertentu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa, malah boleh jadi luar tabii.
Iklan
Iklan
"Segala tindakan yang selari dengan garis masa sebelum pengisytiharan calon pilihan raya Melaka, dalam keadaan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dua hari lalu menghantar surat kepada PN untuk memberi respons penggunaan logo PN adalah jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Selasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa gelombang rakyat tidak akan mudah padam dengan tindakan orang politik yang berselindung di sebalik kuasa.
Sebelum ini, RoS memaklumkan pembatalan pendaftaran PN dibuat selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen serta penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.