SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan menerima laporan berhubung video tular dakwaan pembekal ayam di sebuah premis di Kuala Lumpur tidak menyembelih ayam mengikut hukum syarak, tetapi mencampakkannya ke dalam air panas hidup-hidup.
Status halal dan rangkaian pengedaran ayam yang diproses juga didakwa diragui ramai pihak.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) ke atas syarikat bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) itu.
"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama PBT ke atas syarikat bukan pemegang SPHM tentang isu ayam yang sedang tular,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggesa Jakim membuat siasatan segera mengenai kaedah penyembelihan, status halal serta rangkaian pengedaran ayam yang diproses di sebuah premis di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, ia bagi memastikan proses penyembelihan ayam di premis tersebut benar-benar mematuhi hukum syarak, memiliki status halal dan lokasi ia dibekalkan untuk dijual.
Tambahnya, siasatan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga perlu meliputi aspek kebersihan, pematuhan undang-undang, kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing.
Jika terbukti berlaku pelanggaran, Mohd Radzi menggesa supaya tindakan tegas diambil ke atas syarikat pembekal ayam itu.
Isu tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat selepas tular tangkap layar rakaman video penstriman langsung di TikTok, memaparkan seorang lelaki dengan selamba menghisap rokok ketika ditanya individu lain tentang kaedah pemprosesan ayam yang mencurigakan dibuat pihaknya.
Majoriti wargamaya berang sambil mempersoalkan sama ada ayam yang dibekalkan di sekitar Kuala Lumpur adalah bangkai atau sebaliknya.