KOTA BHARU – Lelaki pembuat papan pemotong makanan yang ditangkap kerana dipercayai melakukan perbuatan jijik terhadap seekor kucing, mempunyai dua rekod lampau berkait dadah dan satu rekod jenayah pecah rumah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek yang berusia 49 tahun dan masih bujang itu dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret, Pasir Puteh pada Selasa.
“Suspek pernah ada kes dadah dan jenayah pecah rumah.
“Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek ketika ditahan didapati negatif dadah,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Selasa.
Suspek ditahan polis pada Isnin susulan laporan polis yang diterima berhubung satu tular satu rakaman yang tular di platform media sosial Threads pada Ahad.
Video berdurasi 55 saat itu memaparkan dakwaan perbuatan jijik dilakukan oleh lelaki berkenaan terhadap kucing di rumahnya.
Beliau berkata, polis turut menghantar kucing terbabit kepada doktor veterinar untuk pemeriksaan lanjut bagi mengetahui keadaannya.
“Sebanyak 10 lagi kucing yang berada di rumah suspek turut diambil polis dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.