KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat kawal selia, tatakelola dan pengurusan kewangan badan serta agensi kerajaan, dengan sasaran ia dibentangkan serta diluluskan di Dewan Rakyat tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang itu penting bagi memastikan badan dan agensi kerajaan, termasuk entiti berkaitan Bumiputera, tertakluk kepada peraturan lebih ketat bagi mengelakkan ketidakaturan yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.
"Insya-ALLAH akan membentangkan rang undang-undang badan (entiti) milik kerajaan ini untuk kawal selia supaya peraturan itu lebih kemas.
"Jadi mudah-mudahan kita dapat luluskan tahun ini juga supaya semua agensi kerajaan tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperketat prosedur kewangan, khususnya dalam kelulusan pelaburan berskala besar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap undang-undang baharu itu dapat memperkukuh akauntabiliti badan dan agensi kerajaan serta memastikan pengurusan aset dan dana awam dilaksanakan mengikut tatakelola yang lebih ketat.
Berhubung isu kelemahan dalam proses usaha wajar bagi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Jakarta, Indonesia, Anwar berkata, perkara itu antara lain dipengaruhi kecenderungan mengikut trend pelaburan antarabangsa dan kebergantungan kepada institusi besar seperti SoftBank.
Beliau berkata, walaupun proses usaha wajar dan penelitian oleh jawatankuasa pelaburan sebelum sesuatu cadangan dibawa ke peringkat lembaga KWAP adalah teratur dan ketat, kelemahan tetap berlaku dalam kes berkenaan.
Anwar berkata, kerajaan mengambil iktibar daripada perkara itu dan akan memperketat peraturan sedia ada bagi memastikan keputusan pelaburan wang awam dibuat dengan lebih teliti serta tidak hanya bergantung kepada keputusan atau kecenderungan pelabur antarabangsa.
"Dalam menjaga amanah wang rakyat, harus ada beberapa proses yang lebih ketat lagi. Walaupun saya lihat secara terus terang prosesnya ketat, cuma dalam kes ini mereka merasakan oleh kerana bergantung kepada SoftBank, tidak mungkin mereka melabur dengan begitu cuai.
"Tetapi kenyataannya begitu...mengharapkan beberapa agensi dan institusi antarabangsa dari Jepun dan Eropah untuk memberikan panduan kepada kita tidak semestinya betul," katanya. - Bernama