Keganasan ekonomi turut jerat wanita, bukan hanya penderaan fizikal

Iklan
Nancy (empat dari kanan) merasmikan EVAW Sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 di Butterworth pada Selasa.

BUTTERWORTH - Keganasan terhadap wanita bukan hanya melibatkan penderaan fizikal atau kata-kata kesat, malah turut merangkumi keganasan ekonomi apabila pasangan mengawal kewangan sehingga mangsa tidak mempunyai wang untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kawalan kewangan sedemikian boleh menjejaskan kesejahteraan emosi mangsa, mencetuskan kemurungan serta mengganggu keharmonian rumah tangga termasuk memberi kesan kepada perkembangan anak-anak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesedaran mengenai pelbagai bentuk keganasan perlu dipertingkatkan supaya wanita mengetahui hak mereka, mengenal pasti penderaan yang dialami dan berani mendapatkan bantuan.

“Apabila seseorang wanita tidak diberikan wang untuk perbelanjaan rumah, perkara itu juga boleh menjadi satu bentuk keganasan melalui kawalan kewangan dan ekonomi.

Iklan

“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa berasa tertekan, tidak berpuas hati dengan pasangan dan akhirnya menjejaskan kehidupan seluruh keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) Sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Nancy berkata, keganasan terhadap wanita kini turut berlaku dalam ruang digital apabila teknologi disalahgunakan untuk mengugut, mengintip atau memalukan pasangan.

"Penyebaran kandungan digital sedemikian boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan berulang selain menjejaskan hubungan kekeluargaan, pendidikan, pekerjaan dan reputasi mereka.

"Sehubungan itu, kesedaran mengenai hak mangsa, saluran pelaporan dan bentuk bantuan yang tersedia perlu diperluas supaya masyarakat memahami bahawa keganasan tidak boleh dinormalisasikan," katanya.

Nancy berkata, program kesedaran itu dilaksanakan sepanjang tahun di semua negeri dan tidak hanya tertumpu pada 25 November, iaitu tarikh sambutan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.

Mengulas mengenai EVAW, beliau berkata, antara matlamat utama program berkenaan ialah membantu mangsa membina semula kehidupan melalui pemerkasaan ekonomi supaya mereka mampu berdikari khususnya selepas berhadapan keganasan rumah tangga atau perceraian.

Tambahnya, mangsa turut diberikan pendedahan mengenai saluran bantuan, hak di sisi undang-undang serta sokongan yang tersedia bagi membolehkan mereka keluar daripada situasi penderaan.

“Kita mahu wanita tahu bagaimana mereka boleh membantu diri sendiri, membina semula keyakinan dan meyakinkan keluarga bahawa mereka mampu bangkit semula.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi turut membantu mereka mendapatkan sumber kewangan sendiri bagi menyara diri dan keluarga,” ujarnya.

Nancy berkata, peningkatan jumlah kes yang dilaporkan tidak semestinya menunjukkan keganasan semakin berleluasa sebaliknya boleh mencerminkan peningkatan kesedaran dan keberanian mangsa untuk tampil membuat laporan.

Menurutnya, masih terdapat mangsa yang sebelum ini tidak mengetahui bahawa perbuatan tertentu termasuk kawalan kewangan dan bentuk penderaan lain merupakan keganasan serta terdapat mekanisme kerajaan untuk membantu mereka.

Beliau berkata, program kesedaran turut membuka ruang kepada mangsa berkongsi pengalaman dan kaedah mengatasi masalah dengan individu lain yang berhadapan situasi sama.

Malah, katanya, terdapat mangsa yang membentuk kumpulan komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp bagi saling berkongsi pengalaman serta mendapatkan sokongan untuk keluar daripada situasi penderaan.

Dalam pada itu, Nancy berkata, kementerian akan terus menambah baik program sedia ada termasuk menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai Sahabat Wanita Antigangguan (SWAT Waja) bagi memperluas usaha pencegahan di peringkat komuniti.

Menurutnya, penglibatan lelaki dalam gerakan berkenaan juga penting kerana usaha membanteras keganasan terhadap wanita memerlukan sokongan semua pihak.

“Daripada lebih 300,000 ahli SWAT Waja, kira-kira 25 peratus adalah lelaki. Ini menunjukkan lelaki juga mahu memainkan peranan membantu wanita, keluarga dan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Kita mahu lebih ramai tampil sebagai pemimpin komuniti yang boleh membantu mangsa membuat laporan serta menyebarkan kesedaran hingga ke kampung-kampung,” katanya.

Nancy menambah, kementerian juga menyediakan peruntukan bantuan kewangan kira-kira RM1 juta yang mula dilaksanakan tahun ini bagi membantu wanita yang memerlukan sokongan untuk meninggalkan rumah bersama anak-anak dan memulakan kehidupan baharu.

“Kadangkala wanita yang mahu keluar daripada rumah tidak mempunyai wang untuk membawa anak-anak mereka ke tempat lain. Jadi, kita mahu memastikan mereka mempunyai bantuan yang diperlukan.

“Peruntukan ini membolehkan kita meneruskan usaha membantu mereka dan menjadi asas untuk memperkukuh bantuan pada tahun hadapan,” katanya.

Nancy berkata, kementerian turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyediakan rumah transit untuk mangsa yang memerlukan tempat perlindungan sementara.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara sehingga Ogos 2026 dengan Pulau Pinang mencatatkan 228 kes.

Angka itu, katanya, mengukuhkan keperluan untuk memastikan masyarakat tidak memandang ringan sebarang bentuk keganasan kerana kesannya bukan sahaja meninggalkan kecederaan fizikal, malah boleh merampas rasa selamat, maruah dan masa depan mangsa serta ahli keluarga.