Suri rumah hilang RM472,000, terpedaya 'pegawai KKMM', 'pendakwa raya'

Iklan
Seorang suri rumah kerugian RM472,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian (phone scam) yang mendakwa dirinya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan berdepan waran tangkap. - Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah kerugian RM472,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan dalam talian (phone scam) yang mendakwa dirinya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan berdepan waran tangkap.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 46 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada 5 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti penyebaran saham pelaburan, bantuan kerajaan dan peluang pekerjaan sebelum talian disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai ‘Sarjan Andi’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Iklan

“Suspek kemudian memaklumkan nombor kad pengenalan mangsa dikaitkan dengan kegiatan pengubahan wang haram dan satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang panik kemudiannya disambungkan pula kepada seorang wanita yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya bernama ‘Zaleha’.

Iklan

Menurutnya, suspek mengarahkan mangsa membuat pembayaran kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan dan memberi jaminan wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai.

“Akibat ketakutan ditangkap, mangsa telah membuat 21 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza milik sindiket antara 18 Ogos hingga 19 September lalu.

“Mangsa menggunakan wang simpanan peribadi dan keseluruhan kerugian dianggarkan berjumlah RM472,000,” katanya.

Azli berkata, helah sindiket terbongkar apabila mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM80,000 selepas semua transaksi terdahulu selesai dilakukan.

“Permintaan itu menyebabkan mangsa mula curiga sebelum tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu serta rangkaian sindiket terbabit,” katanya.