PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
“Alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Terdahulu, notis yang dikeluarkan pada 22 September itu memberi peluang kepada PN untuk mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dinyatakan dalam notis berkenaan.
RoS menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
PN ditubuhkan pada Februari 2020 susulan pergolakan politik negara yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Langkah Sheraton. Gabungan itu didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020 dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebagai parti pengasas.
Kedudukan PN diuji selepas Bersatu membuat aduan bertulis kepada RoS pada 11 Ogos lalu berhubung dakwaan tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN 16 Julai berkaitan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN), Negeri Sembilan.
Bersatu mendakwa tindakan mengecualikan parti itu telah melanggar Fasal 7.1 Perlembagaan PN serta mempertikai kewujudan"kuasa veto" yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi.
Berikutan aduan tersebut, RoS menggantung sementara gabungan itu selepas notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dikeluarkan. RoS memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.