ISTANBUL - Peguam Negara Florida, James Uthmeier pada Isnin mengumumkan bahawa pihak berkuasa memperoleh waran tangkap peringkat negeri terhadap bekas Presiden Cuba Raul Castro berhubung insiden dua pesawat awam ditembak jatuh pada 1996 yang mengorbankan empat lelaki, lapor Anadolu Ajansi.
"Raul Castro mengarahkan pembunuhan terancang terhadap empat penduduk Florida secara kejam dengan kelulusan kerajaan," kata Uthmeier menerusi hantaran di platform media sosial X.
Waran itu mendakwa Castro atas tuduhan berkomplot untuk melakukan pembunuhan darjah pertama berhubung insiden pada 24 Februari 1996 yang melibatkan pesawat dikendalikan Brothers to the Rescue, sebuah kumpulan rakyat Cuba dalam buangan yang berpangkalan di Miami.
Uthmeier berikrar bahawa Florida akan terus berusaha memastikan pihak yang bertanggungjawab atas kematian Carlos Costa, Pablo Morales, Mario de la Pena dan Armando Alejandre Jr., empat lelaki yang terkorban dalam insiden itu, dibawa ke muka pengadilan.
Menurut Jabatan Penguatkuasaan Undang-Undang Florida, Pejabat Pendakwaan Seluruh Negeri Florida bersama pasukan penyiasat memperoleh waran berkenaan selepas pihak berkuasa membuka semula kes itu atas arahan Uthmeier tahun lepas.
Pada 24 Februari 1996, jet pejuang Cuba menembak jatuh dua daripada tiga pesawat Cessna tidak bersenjata yang dikendalikan kumpulan berkenaan, mengorbankan kesemua empat individu di dalam pesawat terbabit.
Menurut Jabatan Penguatkuasaan Undang-Undang Florida, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Opa-Locka di Kaunti Miami-Dade dan sedang terbang menjauhi Cuba.
Waran berkenaan ditandatangani oleh Ketua Hakim Ariana Fajardo Orshan dari Mahkamah Litar Kehakiman Ke-11 Florida, yang mengarahkan Castro ditahan tanpa dibenarkan diikat jamin.
Tindakan di peringkat negeri itu menyusuli pendakwaan di peringkat persekutuan yang diumumkan pada Mei terhadap Castro berhubung insiden sama. Pertuduhan persekutuan itu termasuk berkomplot untuk membunuh warga Amerika Syarikat (AS) dan memusnahkan pesawat.
Insiden tembak jatuh pesawat pada 1996 itu terus menjadi punca ketegangan antara Washington dan Havana. Cuba menegaskan bahawa pesawat berkenaan telah menceroboh ruang udaranya, manakala pihak berkuasa AS menyatakan pesawat itu terbang di ruang udara antarabangsa.
Castro, 95, berkhidmat sebagai Presiden Cuba dari 2008 hingga 2018, menggantikan abangnya Fidel Castro.
Pihak berkuasa Florida berkata siasatan akan diteruskan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab atas kematian empat lelaki itu dibawa ke muka pengadilan. - Bernama