Rakyat sudah tahu tetapi masih kena tipu

Iklan
Jenayah scam kini bukan sekadar isu keselamatan kewangan, tetapi sudah menjadi krisis sosial yang menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem digital. - Gambar hiasan

MALAYSIA terus berdepan lonjakan jenayah penipuan dalam talian dengan puluhan ribu kes direkodkan setiap tahun, menjadikan antara ancaman paling dominan di negara ini.

Pada 2025, negara merekodkan 66,204 kes jenayah penipuan siber dengan kerugian hampir RM3 bilion, meningkat 87 peratus berbanding 35,368 kes pada 2024.

Iklan
Iklan

Di peringkat negeri pula, Perak mencatatkan 4,848 kes dengan kerugian mencecah RM124.9 juta melibatkan pelbagai modus operandi seperti panggilan penyamaran, pelaburan tidak wujud dan love scam.

Statistik itu menunjukkan bahawa jenayah ini bukan sahaja berleluasa di bandar besar, malah turut menular ke kawasan luar bandar termasuk komuniti kecil.

Iklan

Golongan warga emas dan pesara kekal menjadi sasaran utama, namun trend baharu memperlihatkan pelajar dan golongan profesional turut terperangkap dalam sindiket sama.

Persoalannya, mengapa rakyat masih mudah terdedah walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan secara besar-besaran oleh pihak berkuasa dan media?

Iklan

Jawapannya tidak boleh dilihat secara tunggal, sebaliknya melibatkan gabungan faktor psikologi, teknologi dan kelemahan sistem pertahanan digital masyarakat.

Dari sudut psikologi, scammer bijak mengeksploitasi emosi manusia seperti panik, takut dan tamak untuk memaksa mangsa bertindak tanpa berfikir panjang.

Taktik seperti ugutan akaun bank disekat atau dakwaan kes jenayah palsu menjadikan mangsa bertindak segera tanpa membuat semakan lanjut dengan pihak berkaitan.

Dalam masa sama, janji keuntungan pelaburan cepat pula memainkan emosi tamak yang sering mengatasi logik kewarasan.

Kajian global turut menunjukkan jenayah penipuan dalam talian bukan lagi serangan sekali, tetapi proses berperingkat yang membina kepercayaan mangsa secara perlahan sebelum penipuan berlaku.

Perkembangan teknologi pula menjadikan sindiket ini semakin sukar dikesan apabila mereka menggunakan teknik spoofing, penyamaran nombor rasmi dan komunikasi yang sangat meyakinkan.

Lebih membimbangkan, analisis data global menunjukkan lebih 40 peratus mesej mencurigakan yang sampai kepada pengguna adalah scam yang berjaya melepasi sistem tapisan awal.

Kemudahan aplikasi komunikasi moden membolehkan scammer membina hubungan berterusan dengan mangsa sehingga kepercayaan terbentuk sepenuhnya.

Walaupun rakyat semakin terdedah kepada maklumat, tahap literasi digital sebenar masih belum mencapai tahap yang mampu menangkis serangan manipulasi moden ini.

Ramai pengguna masih sukar membezakan antara komunikasi rasmi dan palsu terutama apabila melibatkan identiti institusi seperti polis, mahkamah atau bank.

Kebergantungan tinggi kepada teknologi tanpa kefahaman mendalam menjadikan masyarakat lebih mudah dipengaruhi mesej yang kelihatan sah.

Faktor lain ialah sikap terlalu cepat mempercayai arahan daripada pihak yang dianggap berautoriti, yang sering menjadi titik masuk utama sindiket penipuan.

Kelewatan membuat semakan dan laporan turut menyebabkan kerugian lebih besar kerana wang sudah dipindahkan dalam tempoh sangat singkat.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan operasi besar-besaran, kadar jenayah ini masih tinggi kerana sindiket bergerak secara rentas sempadan dengan rangkaiannya sering beroperasi secara berlapis hingga sukar dilumpuhkan sepenuhnya.

Kempen kesedaran juga dilihat belum cukup untuk mengubah tingkah laku pengguna secara menyeluruh walaupun mesej amaran sering disebarkan melalui media arus perdana.

Hakikatnya, jenayah scam kini bukan sekadar isu keselamatan kewangan, tetapi sudah menjadi krisis sosial yang menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem digital.

Jika trend ini tidak dibendung secara holistik, tidak mustahil jenayah scam akan terus meningkat walaupun tahap kesedaran dalam kalangan rakyat semakin tinggi.

*Normawati Ah Adnan ialah wartawan Sinar Harian